Quote: SELEPAS gazet pertama filem terbaru Star Wars: The Force Awakens ditayangkan di internet November lalu, kini gazet yang kedua...

Star Wars Episode VII : The Force Awakens



Quote:
SELEPAS gazet pertama filem terbaru Star Wars: The Force Awakens ditayangkan di internet November lalu, kini gazet yang kedua telah terbit dengan kemunculan pertama Han Solo dan 'rakan jenayahnya' Chewie selepas kali terakhir muncul bersama 32 tahun yang lalu.

Kehadiran mereka telah mencuri perhatian para peminat tegar Star Wars di seluruh dunia kerana ia adalah yang pertama kali selepas hampir empat dekad.

Filem terbaru francais Star Wars iaitu Episod VII ini akan mula ditayangkan di pawagam mulai 18 Disember tahun ini iaitu beberapa hari sebelum sambutan Krismas.

Gazet terbaru ini yang muncul dalam durasi satu minit 51 saat diperkenalkan secara rasmi oleh pengarah JJ Abrams beberapa hari yang lalu di Pusat Konvensyen Anaheim California khusus untuk peminat-peminat Star Wars.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah para pemegang watak asal siri filem ini iaitu Carrie Fisher (Puteri Leia), Mark Hamill (Luke Skywalker), Peter Mayhew (Chewbacca),  Anthony Daniels (robot C-3PO) dan pelakon-pelakon baru Episod VII, seperti Daisy Ridley, Oscar Isaac dan John Boyega.

Bercakap mengenai klip terbaru Episod VII ini, watak Han Solo, yang dilakonkan oleh Harrison Ford, muncul buat pertama kalinya di penghujung gazet ini bersama-sama Chewbacca sambil mengungkapkan kata-kata; "Chewie, we're home' (Chewie, kita dah kembali...").

Kali terakhir kedua-dua watak ini muncul bersama ialah pada 1983, dalam episod 'Return of The Jedi'.



Chewbacca (kiri) dan Hans Solo dalam gazet terbaru (gambar atas)  filem Star Wars manakala gambar bawah menunjukkan penampilan dua watak tersebut 32 tahun yang lalu. Perhatikan perbezaan wajah Han Solo tetapi Chewbacca masih menggunakan senjata yang sama. 



Klip ini bermula dengan menunjukkan suasana di kawasan padang pasir Planet Jaku (atau Jakoo), berlatarbelakangkan sebuah kapal angkasa gergasi milik bekas Empayar Maharaja Palpatine terbenam di dalam padang pasir. Turut kelihatan ialah sebuah pesawat X-Wing milik pemberontak yang pernah dipandu oleh Luke Skywalker turut terdampar di padang pasir.

Kita kemudiannya akan diperlihatkan bagaimana sepasang tangan milik seseorang yang tidak dikenali sedang mengangkat topeng milik Darth Vader, yang telahpun cair dan hancur.

Ia telah dibakar bersama-sama mayat Vader/Anakin Skywalker oleh anaknya Luke sebagaimana yang kita saksikan dalam episod 'Return of the Jedi.

Selepas itu para penonton akan mendengar suara yang dipercayai Luke Skywalker (Mark Hamill) mengungkap kembali dialog atau kata-kata yang pernah diucapkan dalam episod 'Return of the Jedi' iaitu: 'The force is strong in my family. My father has it. I have it. My sister has it.'

Kemudian muncul satu figura yang berhud dengan tangan robotik seolah-olah seperti Luke Skywalker, menyapu dan memegang robotnya yang setia iaitu R2D2.

Selepas itu kita akan dapat menyaksikan bagaimana pedang cahaya panglima Jedi iaitu 'lightsaber' bertukar tangan oleh dua karakter yang tidak kelihatan wajah mereka sekaligus memberi indikasi yang itu adalah waris atau keturunan Luke Skywalker yang merupakan pahlawan Jedi yang terakhir yang masih hidup.

Apabila kamera memfokus kepada 'lightsaber' itu ia saling tidak ubah sepertimana yang pernah dimiliki oleh Luke satu ketika dahulu yang diwarisinya daripada mahaguru Jedi, Obi Wan Kenobi di dalam episod 'A New Hope'.

Serentak dengan itu, muncul pelakon baru Oscar Isaac yang memegang watak sebagai Poe Dameron iaitu juruterbang X-Wings terbang di atas permukaan air dengan helmet dan sut penerbangannya memiliki insignia pasukan pemberontak sepertimana yang dapat dilihat dalam episod-episod awal siri Star Wars.

Tiba-tiba muncul satu watak memegang 'lightsaber' yang berwarna merah yang sebelum ini di dalam episod-episod terdahulu biasanya digunakan oleh penjahat-penjahat 'Lord Sith' yang merupakan budak suruhan Maharaja Palpatine.

Hanya selepas itu kita semua akan dapat menyaksikan kemunculan semula empayar jahat yang telah ditumpaskan oleh pasukan pemberontak dalam episod keenam iaitu 'Return of The Jedi'.
Kemunculan ini dapat dilihat dengan pembentukan skuadron Stormtroopers berlatarbelakangkan kawasan pergunungan bersalji dengan insignia merah dan hitam baru, milik empayar.

Salah satu watak yang mencuri perhatian ramai ialah kemunculan satu karakter yang memakai pakaian seragam serba hitam yang memperlihatkan bahawa ia milik pasukan elit. Jika para peminat Star Wars lebih tajam penglihatan mereka, mereka akan perasan bahawa watak tersebut hampir-hampir menyerupai 'pemburu upahan' Boba Fett yang pernah muncul dalam Episod IV, V dan VI.
Sumber dari: mstar

1 comment:

Feel free write here..