Lagi satu taktik licik peniaga restoran. Sebelum ini kecoh restoran daun pisang di kelantan mahal sampai beribu. Kali ini restoran di Te...

Pelanggan Terkena di Temerloh, Tidak Tanya Harga Sebelum Makan.


Lagi satu taktik licik peniaga restoran. Sebelum ini kecoh restoran daun pisang di kelantan mahal sampai beribu. Kali ini restoran di Temerloh Pahang daerah yang popular dengan ikan patin nya. Memang tidak dapat dinafikan lagi harga ikan patin yang original atau pun liar adalah amat mahal berbanding dibela di dalam sangkar.

Walau bagaimana pun peniaga sepatutnya letaklah harga ikan yang mahal-mahal tu. Supaya boleh tahu berapa ramai atau yang berstatus poket tebal minat akan masakan ikan patin itu. Aku rasa ia seolah-olah seperti perangkap untuk mengaut keuntungan dari pelanggan.


Korang bayangkan la kalau dipaparkan harga untuk setiap menu di restorankan tersebut. Kalau harga mahal korang sanggup ke nak makan? Lainlah kalau golongan berada. Ini tidak hanya golonganrakyat marhaen yang sangat mengharap BR1M dari kerajaan. Korang yang pernah makan di restoran hotel 4-5 bintang, pasti ada tanda harga. Ini tidak hanya restoran yang sederhana dan tidak seberapa tapi harga makanannya mengalahkan restoren di hotel 5 bintang.

Lagi la terperangkap kalau restoran itu ada pelayan perempuan yang cantik-cantik pasti lelaki yang ego terpaksa membayarnya kerana tidak mahu jatuh air muka dihadapan gadis yang jelita. Citt..porahhh.. dah lah sengkek masih nak berlagak. Tak sampai hujung bulan dah pokai minta pinjam sana sini.

Anyway..sesiapa yang singgah mana-mana restoran yang tiada tanda harga, ada baiknya bertanya dahulu harganya sebelum nak buat order. Karang dah abis makan termuntah pulak isi perut sebab terperanjat dengan harga yang mahal.
Quote:
BIASANYA kekenyangan menikmati hidangan lazat akan diikuti dengan sedawa panjang tanda kepuasan, brrruppp!

Tetapi tidak begitu halnya dengan lapan sekawan sebaik selesai makan tengah hari di sebuah restoran di Temerloh, Pahang. Tidak sempat sedawa, mereka sebaliknya terkejut sakan apabila menerima bil RM1,415.

Perincian mengenai bil tersebut, tidak termasuk minuman, ialah: 2 ekor ikan kelah (RM726), 2 ekor patin buah (RM400), 2 ekor udang galah (RM200). Sebahagian warga siber meluahkan amarah atas harga terlalu mahal itu.

Seperti yang disiarkan di sebuah akhbar dua hari lalu, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh akan menyiasat sama ada restoran berkenaan menyalahi peraturan, termasuk tidak mempamerkan tanda harga.

Tempoh 14 hari diberikan untuk pihak restoran memberi penjelasan, sekiranya gagal dan melanggar undang-undang akan didenda sehingga RM100,000.

Tetapi tuan punya restoran menganggap harga RM1,415 untuk lapan orang adalah munasabah, sebab sebelum ini ada pelanggannya yang dikenakan RM4,000 untuk makan tengah hari.

Seperti yang dijelaskan semua lauk-pauk itu adalah dari hidupan air tawar yang dianggap eksotik. Patin liar semakin pupus, dan harga di pasar adalah RM60 sekilo.

Purata harga seekor patin liar ialah RM100. Ikan kelah boleh mencecah RM300 sekilo. Udang galah paling murah RM85 sekilo. Lagi pun hidupan eksotik hanya terdapat di kawasan tertentu seperti di Sungai Tembeling.

Kata yang empunya cerita, adalah biasa seketul patin liar – dimasak gulai tempoyak – dijual pada harga RM40 seketul di mana-mana restoran di Temerloh atau Jerantut.

Kalau hendak murah ambil sahaja patin sangkar, itu pun antara RM10 – RM12 seketul.

Perihal harga, pada hemat saya adalah subjektif. Mahal pada seorang, mungkin tidak mahal pada orang lain. Satu ketika dulu Sapiah Mohamad, 70, mencetuskan kontroversi apabila Restoran Mak Ngah Nasi Dagang di Chendering, Kuala Terengganu menjual nasi dagang dengan kepala ikan tongkol berharga RM45.

Pelanggannya dari Putrajaya merungut dalam surat khabar bahawa harga itu terlalu mahal. Tetapi Sapiah mempertahankan harga tersebut sambil menegaskan nasi dagangnya adalah yang terbaik, dan kepala tongkol itu boleh dimakan untuk lima atau enam orang.

Publisiti tidak sengaja itu menjadikan perniagaannya bertambah laris dan maju.

Tiga dekad lalu ketika mula berkelana di KL dan jatuh cinta dengan nasi kandar – di Restoran Yassen atau Kudu berhampiran Chow Kit – RM1.50 adalah terlalu mahal buat saya untuk sepinggan nasi putih bersama seketul ikan bawal kari dan kacang bendi. Air suam percuma.

Hari ini kedua restoran berkenaan mengenakan RM6 untuk hidangan yang sama. Air suam tidak lagi percuma, tetapi 20 sen.

Kalau tambah ayam masak kicap, papadom, dan teh tarik gelas besar, harga sekali makan boleh mencecah RM12. Tetapi masih berbaloi, sebab ‘ori’ dan nikmatnya sehingga menjilat bibir. 

Di sebuah restoran bawah pokok Jalan Kampung Atap pusat bandar raya, satu kepala ikan merah masak kari berbendi, untuk makan dua orang, harganya mencecah RM60. Tetapi orang berbaris panjang setiap waktu makan tengah hari. Ikan merah bukan eksotik!

Tidak kira di mana, dan apa yang dihidangkan, kebanyakan restoran tidak meletakkan tanda harga. Jadi ada baiknya pelanggan bertanyakan harga terlebih dahulu.

Sekiranya termampu baharulah makan. Sebaliknya jika harga terlalu mahal, cari sahaja tempat lain yang lebih munasabah. Kita patut sendawa selepas makan, bukan tersedak.

Bagi peminat patin sekitar KL dan Shah Alam yang tiada kesempatan untuk makan tengah hari di Pahang, bolehlah singgah di Restoran Temerloh di Seksyen 15, Shah Alam.

Datang seawal 11.30 sebab tempat sentiasa penuh. Memang, patin liar gulai tempoyak jauh lebih mahal berbanding patin sangkar.

Saya bukan orang Pahang, jadi tidak dapat membezakan antara patin liar dengan patin sangkar. Tetapi, saya tahu satu patin baik yang saya temui setiap hari, manis bersopan santun, walaupun tidak boleh digulai dengan tempoyak.

Bunyi sebutannya sama, tetapi ejaan sebenarnya ialah ‘Fatin’. Dia penyambut tetamu di pejabat saya!
Sumber dari: Sinar