KUALA TERENGGANU, 22 Dis (Bernama) -- Institusi Islam yang dibina oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh runtuh jika pembang...

Jangan Runtuhkan Institusi Islam Yang Umno Dan BN Bina Sejak Merdeka - Muhyiddin

 KUALA TERENGGANU, 22 Dis (Bernama) -- Institusi Islam yang dibina oleh Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh runtuh jika pembangkang mengambil alih negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau melahirkan kebimbangan itu setelah melihat perjuangan songsang pakatan pembangkang yang sanggup menjual nama Islam semata-mata mahu menjadi pemerintah.

"Bila sampai pilihan raya, bukan soal nak menang saja tapi nak tentukan (pertahankan) institusi yang telah kita bangun dan bina elok-elok. Kalau mereka (pakatan pembangkang) ambil alih kuasa dalam kerajaan untuk bermaharajalela, kebimbangan kita...asas yang telah dibina untuk pembangunan ummah akan diruntuhkan oleh mereka," katanya.

Berucap pada majlis sepetang bersama penghulu, jawatankuasa kampung, imam dan bilal seluruh negeri Terengganu di sini Sabtu, beliau berkata pemerintahan BN bersama-sama Umno sebagai parti Islam utama terbukti mendapat pengiktirafan beberapa negara Islam lain.

Katanya negara Islam lain bukan sahaja memuji cara Malaysia menegakkan syiar Islam di negara ini, malah mahu menjadikan ia contoh kepada mereka dalam membangunkan Islam di negara masing-masing.

Kerajaan BN, katanya melaksanakan banyak usaha ke arah meningkatkan martabat umat Islam di negara ini namun atas sebab politik, pembangkang sanggup berbuat apa sahaja untuk menggagalkannya.

"Pihak pembangkang, kalau boleh hendak menggagalkan segala-galanya...kita berjuang atas perjuangan Umno dan BN iaitu berjuang atas apa yang telah ditetapkan dalam al-Quran," katanya.

Beliau berkata jika benar kerajaan PAS mahu membangunkan Islam di negara ini, mereka telahpun diberi banyak peluang untuk melaksanakannya di Kelantan.

Muhyiddin berkata BN berada di landasan yang betul dan berjuang atas tuntutan agama serta tidak bercanggah dengan hukum agama sebagaimana yang didakwa pembangkang.


Sumber dari:  Bernama