SHAH ALAM, 29 Nov (Bernama) -- Seorang bekas pekerja Istana Mestika di Seksyen 7 di sini, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua s...

Bekas Pekerja Istana Dipenjara Tiga Tahun, Dua Sebatan Salah Guna Kad Minyak Istana



SHAH ALAM, 29 Nov (Bernama) -- Seorang bekas pekerja Istana Mestika di Seksyen 7 di sini, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan menyalahguna dua keping kad minyak milik istana Selangor berjumlah RM345.85, empat tahun lepas.

Hakim Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Zaharuddin Ithnin, 43, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Zaharuddin, yang ketika kejadian bertugas sebagai pemandu kenderaan negeri Selangor di pejabat Sultan Selangor, didakwa menyalahguna kad minyak Shell milik Istana Selangor berjumlah RM192.06 di Stesen Minyak Shell Warisan Faezah Enterprise, Kampung Batu Belah, Jalan Sungai Putus, Klang, antara 2.45 petang dan 3.30 petang, pada 21 Mac 2008.

Tertuduh juga didakwa menyalahguna sekeping lagi kad minyak Shell milik Istana Selangor berjumlah RM153.79 di tempat, masa dan tarikh yang sama.