SEREMBAN - Tindakan nekad dua beranak menangkap salah seorang suspek kes bunuh seorang warga emas di lorong belakang antara Jalan Utam ...

Nekad tangkap suspek, selepas lihat mangsa dibunuh



SEREMBAN - Tindakan nekad dua beranak menangkap salah seorang suspek kes bunuh seorang warga emas di lorong belakang antara Jalan Utam Singh dan Jalan Kong Sang, di sini, berjaya apabila suspek yang terjatuh ditangkap orang ramai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, seorang warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman di dada.

Bagaimanapun kejadian itu disedari remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmeng, 18, apabila dia yang sedang memasak di bahagian dapur terdengar jeritan mangsa.

Menurutnya, dia kemudiannya meninjau di luar kedai dan ternampak tiga suspek sedang mengerumuni mangsa yang sudah terbaring sambil mencari sesuatu pada mangsa.

“Saya menyergah mereka menyebabkan semua suspek melarikan diri.

“Seorang suspek berlari menuju ke tepi lorong kedai menyebabkan saya tanpa berfikir panjang mencampak besen ke arah suspek dan mengenai kepalanya,” katanya.

Ahmeng berkata, bapanya turut membantu dengan menendang kaki suspek terbabit yang cuba melarikan diri menyebabkannya terjatuh sebelum ditahan orang ramai.

"Suspek diikat dengan tali sebelum bapa menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam jam 5.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati lelaki berumur antara 55 dan 60 tahun itu dipercayai warga tempatan.

“Mangsa ditemui dengan keadaan lengkap berpakaian namun identitinya masih belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui,” katanya.

Menurutnya, hanya wang tunai RM36 ditemui pada mangsa yang dipercayai pekerja kedai kopi di kawasan terbabit.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat,” katanya.

Saiful berkata, suspek berusia 40-an adalah warga asing dan polis masih mengesan dua lagi suspek yang berjaya melarikan diri.

Katanya, turut ditemui pemutar skru daripada suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau hubungi talian 06-6014999 bagi membantu siasatan.

Sumber dari: Sinar