KOTA BHARU – Perlakuan ganas seorang buruh yang memukul dan menumbuk adik iparnya sebelum merogol wanita itu, mendapat balasan apabila ...

Tumbuk dan pukul sebelum rogol



KOTA BHARU – Perlakuan ganas seorang buruh yang memukul dan menumbuk adik iparnya sebelum merogol wanita itu, mendapat balasan apabila dia dihukum 15 tahun penjara dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.



Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh mengaku bersalah.

Dia mengaku merogol isteri adiknya yang berusia 17 tahun itu di bilik rumahnya di Belakang Penjara Kampung Landak, Pengkalan Chepa di sini, pada jam 3 pagi, 27 Mei 2011.

Berdasarkan fakta kes, pasangan suami isteri yang berada di ibu mereka di kampung sama didatangi tertuduh sebelum dia memukul dan mengheret mangsa keluar.

Mangsa yang ketakutan hanya menuruti tertuduh sementara suaminya juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana takutkan tertuduh.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke rumahnya dan sekali lagi bertindak ganas dengan memukul pengadu sebelum mengheretnya ke bilik dan merogol mangsa.

Keesokannya, pengadu menceritakan kejadian itu kepada suaminya dan membuat laporan di balai polis Pengkalan Chepa.

Siasatan dan hasil pemeriksaan doktor mendapati ada kesan lebam di badan dan bengkak di bibir mangsa selain laporan asid deoksiribonukleik positif.

Dalam keputusan semalam, Azman turut mengarahkan hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan dua hari selepas kejadian.

Sumber dari: Sinar