BUKIT MERTAJAM: Tindakan tujuh ahli keluarga dan seorang pembantu rumah menindih seorang kanak-kanak perempuan hingga sesak nafas sebel...

Kanak-kanak mati diTindih kerana buat bising



BUKIT MERTAJAM: Tindakan tujuh ahli keluarga dan seorang pembantu rumah menindih seorang kanak-kanak perempuan hingga sesak nafas sebelum meninggal dunia pada Ahad lalu, didakwa tidak mempunyai sebarang kaitan dengan upacara keagamaan melampau atau pemujaan.



Sebaliknya, mereka dikatakan bertindak begitu kerana kanak-kanak berusia dua setengah tahun itu didakwa tidak duduk diam dan membuat bising ketika kumpulan berkenaan sedang bersembahyang mengingati kematian datuk mangsa, baru-baru ini.

Seorang ahli keluarga terbabit yang tidak mahu dikenali berkata, semuanya berpunca daripada seorang ibu saudara mangsa dikatakan berang kerana mendakwa kanak-kanak terbabit mengganggu majlis mereka.

Menurutnya, emosi wanita berkenaan memang tidak stabil sejak kematian bapanya kira-kira tiga minggu lalu.

Katanya, dia mengalami tekanan perasaan yang teruk berbanding seorang yang baik sebelum ini.

“Apabila kanak-kanak terbabit membuat bising, ibu saudara mangsa itu mendakwa kanak-kanak itu dirasuk hantu.

“Dia kemudiannya minta ahli keluarganya yang lain dan sesiapa yang berada dalam bilik itu termasuk pembantu rumah memegang mangsa bagi mententeramkannya hinggalah berlaku kejadian tindih-menindih itu,” katanya.

Menurutnya, dia minta kejadian itu tidak dikaitkan dengan sebarang aktiviti tidak baik termasuk pemujaan atau sebagainya.

Katanya, semuanya berlaku kerana mereka terlalu sedih dengan kematian datuk mangsa hingga gagal mengawal perasaan.

Seorang lagi ahli keluarganya berkata, ibu saudara mangsa itu berubah sejak kematian bapanya dan berpewatakan bukan seperti dirinya sebelum ini.

“Semua ahli keluarga akan mendengar cakapnya sebelum ini kerana dia jenis orang yang baik, mungkin sebab itulah apabila dia minta menindih kanak-kanak itu semua orang lakukannya tanpa membantah.

“Saya juga percaya ketika kejadian mereka dalam keadaan letih dan kelaparan kerana tidak minum dan makan sepanjang hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah berkata, siasatan masih lagi dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

Harian Metro juga difahamkan, mayat kanak-kanak terbabit, Chuah Wan Xuan akan dituntut ahli keluarganya dari Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk disemadikan di Bukit Berapit, di sini petang ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan Chuah maut berikutan tidak dapat bernafas selepas ditindih tujuh ahli keluarganya dan seorang pembantu rumah warga Indonesia dalam kejadian di Taman Bukit Minyak Indah, di sini.

Ahli keluarga yang menindih mangsa ialah ibu, bapa, nenek, ibu dan bapa saudara serta dua sepupunya.

Sumber dari: Metro