KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) dengan kekuatan 40,000 anggota hari ini meminta semu...

NUBE Minta Bank Beri Bonus Raya



KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) dengan kekuatan 40,000 anggota hari ini meminta semua bank mengikut jejak langkah kerajaan dan mempertimbang bonus Hari Raya kepada semua kakitangan bukan eksekutifnya.



Kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, malah pesara juga menerima RM500.

Setiausaha Agung Nube J.Solomon berkata bank di Malaysia mencatat keuntungan tahun ke tahun dan sudah pasti dapat memberikan bonus itu.

Walaupun bonus bukan sebahagian daripada perjanjian secara kolektif tetapi ia tidak menghalang bank, atas nama tanggungjawab sosial korporatnya, untuk mengurangkan beban kakitangannya yang berpendapatan rendah, katanya kepada Bernama.

Solomon berkata Nube menulis surat kepada semua ketua pegawai eksekutif bagi mempertimbang bonus itu di mana kuantumnya diserah kepada bank untuk membuat keputusan.

Katanya Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama di mana "kita hidup bersama secara aman dan dicemburui negara-negara lain."

"Tanpa mengira agama atau kaum, kita semua menyambut Hari Raya," katanya.

Sumber dari: Sinar