LONDON - Pengurus skuad berbasikal negara ke Sukan Olimpik 2012, Datuk Naim Mohamad akan melepaskan jawatan sebagai timbalan presiden P...

Misi Olimpik gagal, pengurus skuad basikal lepas jawatan



LONDON - Pengurus skuad berbasikal negara ke Sukan Olimpik 2012, Datuk Naim Mohamad akan melepaskan jawatan sebagai timbalan presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berikutan kegagalan sukan tersebut menyumbang pingat kepada kontinjen negara.



Naim berkata walaupun baru dipilih semula sebagai timbalan presiden pada mesyuarat agung tahunan PKBM pada Jun lalu, beliau mengambil keputusan tersebut atas rasa bertanggungjawab terhadap prestasi pelumba negara di Sukan Olimpik.

"Saya telah mengusahakan kesemua yang termampu, dari segi menyediakan pelumba berkaliber, mencari penaja serta pelbagai usaha lain bagi meraih emas pertama Malaysia dari sukan berbasikal.

"Selepas kegagalan tersebut, saya rasa perlu lepaskan jawatan supaya ada pengganti yang mempunyai idea baharu bagi meneruskan misi ke Olimpik di Brazil pada 2016," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Pelumba trek utama harapan negara, Mohd Azizulhasni Awang semalam mendapat tempat keenam dalam acara akhir keirin lelaki individu.

Naim, yang mengaku tidak kecewa dengan pencapaian Mohd Azizulhasni, berkata pelumba itu berada dalam keadaan terbaik untuk memberikan emas tetapi mungkin kesilapan percaturan strategi menyebabkan pelumba itu terpaksa berpuashati di tempat keenam.

"Saya akan melepaskan jawatan bukan kerana kecewa dengan pencapaian pelumba negara tetapi memberi ruang kepada muka baharu dalam PKBM untuk mencurahkan idea bagi kebaikan sukan berbasikal," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan tarikh akhir untuk melepaskan jawatan kerana berasa perlu membimbing muka baharu untuk mengambilalih jawatannya.

"Tetapi sebelum Olimpik di Brazil pada 2016," katanya.

Tempoh penyandang jawatan dalam PKBM sekarang akan berakhir pada 2015.

Naim berkata sepanjang 30 tahun bergiat dengan sukan berbasikal, beliau berpuashati dengan pencapaian barisan pelumba negara terutama dalam misi mencari emas pertama Malaysia dari sukan Olimpik.

"Misi PKBM bermula di Olimpik Barcelona (1992) sehingga London tetapi masih gagal menyumbangkan sebarang pingat kepada Malaysia. Jadi tiba masanya saya memberi peluang kepada orang lain meneruskan misi emas negara," katanya.

Beliau berkata penggantinya memerlukan masa selama lapan tahun untuk merancang misi mencari emas pada temasya berikutnya, bukan sahaja untuk memantapkan pelumba sedia ada tetapi juga menggilap pelapis bagi sukan Olimpik seterusnya.

"Selepas 30 tahun aktif, saya rasa perlu melepaskan jawatan. Tetapi akan terus menyokong sukan yang menjadi darah daging saya ini," katanya.- Bernama

Sumber dari: Sinar