Adnan menunjukkan sebahagian makanan yang dirampas penguat kuasa Jaip KUALA ROMPIN - Nasi lemak, telur masin, sotong masak merah, aya...

Kantoi makan dalam van



Adnan menunjukkan sebahagian makanan yang dirampas penguat kuasa Jaip

KUALA ROMPIN - Nasi lemak, telur masin, sotong masak merah, ayam goreng dan sayur-sayuran. Itu antara menu sarapan pagi yang disediakan sebuah kedai makan di bandar Kuala Rompin, di sini, yang tidak menghormati kesucian Ramadan dengan menjual makanan kepada kaki ponteng puasa, kelmarin.



Tindakan penjual terbabit berjaya dihidu Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) yang membuat serbuan di premis berkenaan hasil maklumat orang awam.

Pegawai Agama Islam Rompin, Adnan Mamat berkata, dalam operasi bersepadu itu, pihaknya menahan tiga lelaki Islam selepas didapati melakukan kesalahan menjual makanan dan tidak berpuasa di bulan Ramadan.

“Kesemua mereka ini akan disiasat di bawah Seksyen 137 Enekmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan boleh dikenakan denda sebanyak RM500 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Bagi mereka yang masih ingkar serta didapati melakukan kesalahan kali kedua berturut-turut, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Sinar Harian.

Adnan berkata, dalam operasi selama dua jam bermula 11 tengah hari hingga 1 petang itu, turut dicekup seorang lelaki yang sedang menikmati makanan dalam sebuah van di tepi Pantai Hiburan.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 30 tahun ke atas, malah Jaip mengambil langkah tegas merampas makanan yang dijual di premis terbabit.

Katanya, pihaknya akan menjalankan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang mencemari bulan mulia ini.

Sumber dari: Sinar