Pengarah Pengurusan Produk Adobe Systems, Jim Mohan, memberi penerangan tentang komputer tablet Galaxy Note 10.1 semasa satu sidang med...

Galaxy Note 10.1 mula dijual



Pengarah Pengurusan Produk Adobe Systems, Jim Mohan, memberi penerangan tentang komputer tablet Galaxy Note 10.1 semasa satu sidang media di New York, Amerika Syarikat, kelmarin. - AFP


SEOUL 16 Ogos - Samsung Electronics Co. seolah-olah memberi tamparan kepada Apple apabila mula memasarkan komputer tablet Galaxy Note 10.1 di Amerika Syarikat (AS) bermula hari ini.

Galaxy Note 10.1 yang dilengkapi dengan kemudahan WiFi akan dijual pada harga AS$499 seunit (RM1,564) bagi model asas penyimpanan memori 16 gigabait (GB) dan AS$549 seunit (RM1,721) bagi penyimpanan memori 32GB yang turut dilengkapi slot kad memori binaan luar.

IPad terbaru keluaran Apple dijual pada harga yang sama dengan produk terbaru Samsung itu, tetapi Galaxy Note 10.1 menawarkan beberapa ciri yang tidak dimiliki oleh iPad.

Resolusi skrin komputer tablet Samsung itu juga lebih rendah daripada iPad.

Galaxy Note 10.1 merupakan komputer tablet pertama Samsung yang menggunakan program Android dan dilengkapi dengan pen digital serta boleh melakukan dua aplikasi secara serentak menerusi skrin yang boleh dibahagikan kepada dua paparan.

Menurut penganalisis, kebolehan Galaxy Note 10.1 bertujuan untuk menarik minat pelanggan terdiri daripada ahli perniagaan dan golongan akademik.

Ia merupakan satu strategi yang berkesan daripada bersaing secara langsung dengan iPad yang telah menguasai kira-kira 70 peratus pasaran tablet seluruh dunia.

Samsung mengeluarkan kira-kira enam komputer tablet Android bagi tempoh dua tahun lalu menerusi siri Galaxy Tab namun tidak satu pun daripadanya mampu meraih populariti setanding iPad.

Menurut penganalisis lagi, komputer tablet Android kurang berjaya kerana kekurangan aplikasi dan harga yang lebih tinggi.

Tetapi, menerusi Galaxy Note 10.1, syarikat Korea Selatan itu percaya mereka mempunyai produk yang akan menarik minat firma korporat dan sekolah berbanding iPad yang kaya dengan aplikasi dan paparan skrin yang lebih jelas. - AGENSI

Sumber dari: Utusan