Tahniah rakyat Kelantan kerana keperihatinan kerajaan memberi elektrik percuma di setiap penggunaan tenaga di bawah RM20. Kerajaan pusat...

Rakyat Kelantan Dapat Elektrik Percuma

Rakyat Kelantan Dapat Elektrik Percuma

Tahniah rakyat Kelantan kerana keperihatinan kerajaan memberi elektrik percuma di setiap penggunaan tenaga di bawah RM20. Kerajaan pusat begitu peka sekali dengan kadar kemiskinan yang berlaku di Kelantan sekarang. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada golongan yang berpendapatan rendah.
Tapi di sini aku pelik betul, bukankah pemberian subsidi ini sudah lama di berikan di seluruh Malaysia? Takkan rakyat Kelantan baru menerima subsidi elektrik ini dari kerajaan. Rumah aku sendiri sudah bertahun dapat elektrik percuma kerana aku hanya menggunakan tenaga di bawah RM20 setiap bulan. Tidak pernah sekali aku pergi ke kaunter pembayaran bil. Bukan bil elektrik sahaja, malah bil air pun masih percuma dari kerajaan Selangor.

Dan aku rasa kesenangan ini tidak akan berkekalan kerana desas desus mengatakan tarif elektrik akan mula naik. Bila sudah naik maka bil pun akan naik walaupun RM 20.10 , nilai 10sen itu akan memberi impak kehilangan subsidi dan terpaksa membayar jumlah keseluruhan bil tersebut. Ini dinamakan subsidi bersyarat.

Tidak seperti Selangor memberikan subsidi air percuma 20meter padu setiap bulan kepada seluruh penduduk selangur. Jika rakyat menggunakan 21 meter padu maka bayarannya hanya dikenakan untuk 1 meter padu sahaja . Tiada syarat dan untung bukan?
Quote:
75,000 Rakyat Miskin Di Kelantan Dapat Bekalan Elektrik Percuma

PASIR PUTEH, 14 Julai (Bernama) -- Kira-kira 75,000 penduduk miskin di Kelantan mendapat bekalan elektrik secara percuma apabila bayaran bil bulanan mereka yang tidak melebihi RM20 sebulan ditanggung Kerajaan Pusat.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan Md Yuslan Md Yusoh berkata mereka adalah sebahagian daripada 425,000 jumlah keseluruhan pengguna di negeri ini.

"Pengecualian itu dapat meringankan beban mereka yang sebilangan besarnya terdiri daripada petani," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci rumah kepada penduduk miskin, Senah Jusoh, 69, di Kampung Gong Kubur di sini, Isnin.

Md Yuslan turut memberi jaminan bekalan elektrik mencukupi terutama bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat pada musim perayaan Aidilfitri hujung bulan ini apabila ramai perantau pulang ke negeri ini.

Mengenai bantuan rumah kepada penduduk miskin, beliau berkata TNB Kelantan memperuntukkan RM500,000 hasil wang zakat untuk membina 10 rumah baharu di seluruh Kelantan yang dijangka siap sebelum Aidilfitri ini.

Beliau berkata setiap rumah yang bernilai RM50,000 itu mempunyai tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air dijangka dapat memberi keselesaan kepada penghuninya yang sebelum ini tinggal dalam rumah serba kekurangan.

Md Yuslan berkata sumbangan pada tahun ini merupakan yang terbesar sejak program bantuan rumah itu bermula pada 2008.

Sementara itu, Senah, seorang peniaga kuih berkata sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi keluarganya apabila dapat mendiami rumah baharu itu.

"Mak cik tidak menduga mendapat rumah baharu dan bersyukur dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa bersama keluarga iaitu suami Mat Arif Abdullah, 81, dua orang anak dan seorang cucu yang selama ini terpaksa tinggal dalam sebuah rumah usang yang atapnya bocor di sana sini," katanya.

-- BERNAMA
Sumber dari: Bernama