Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sedia bekerjasama dengan pasukan keselamatan...

Cubaan rampasan kuasa terhadap Agong


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sedia bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi menangani kumpulan Panji Hitam dari Timur, Empayar Langkasuka Nusantara (ELN).Panji Hitam Langkasuka.


Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu diminta memaklumkannya kepada pihaknya dan JAIN masing-masing.
“Melalui perkembangan terkini yang berlaku semalam, kumpulan berkenaan dilihat semakin berani untuk menterjemahkan ideologi mereka dalam bentuk tindakan bagi menyatakan hasrat mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Rampasan kuasa

Kelmarin, polis menahan 10 individu yang mendakwa anggota kumpulan Panji Hitam dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara di luar pintu Istana Negara kerana dipercayai cuba melancarkan rampasan kuasa terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kumpulan itu, yang turut dianggotai dua wanita dan berpakaian serba hitam tiba di Pintu 1, Istana Negara, pada 4.10 pagi menaiki tiga kenderaan yang turut dipasang bendera dan kain rentang serba hitam tertulis Kerajaan Langkasuka Nusantara.

Othman berkata, meskipun doktrin yang dibawa kumpulan berkenaan jelas bercanggah dengan fakta sejarah dan menyeleweng dari sudut agama, termasuk doktrin raja utusan Allah dan tentera Al-Mahdi, namun mereka diyakini mempunyai pengikut yang setia.
“Gerakan itu mula dikesan sejak awal menerusi media sosial, yang didedahkan dan dikongsi bersama masyarakat, walaupun ia dilihat sebagai perkara yang tidak masuk akal,” katanya.

Katanya, disebabkan kumpulan berkenaan mencetuskan isu keselamatan, pihak keselamatan wajar mengambil tindakan.

Sumber dari: Berita Harian