BESUT, 31 Julai - Kegiatan bermain mercun terutamanya di kalangan remaja dan kanak-kanak boleh dibanteras melalui kerjasama orang rama...

Polis Minta Orang Ramai Sama-Sama Banteras Kegiatan Main Mercun


BESUT, 31 Julai - Kegiatan bermain mercun terutamanya di kalangan remaja dan kanak-kanak boleh dibanteras melalui kerjasama orang ramai melaporkan kegiatan itu kepada polis.


Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata walaupun polis sentiasa melakukan pemantauan namun kegiatan bermain bahan larangan itu masih berlaku kerana orang ramai kurang prihatin dan tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"Yang lebih menghairankan terdapat segelintir ibu bapa yang membuka ruang kepada anak-anak untuk bermain mercun dengan turut membelikan bahan tersebut kepada mereka pula," kata Kamaruddin kepada pemberita di Besut, Rabu.

Katanya, memiliki, menjual dan bermain bahan larangan itu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kamaruddin berkata baru-baru ini dua kanak-kanak berumur empat dan tujuh tahun dari Kampung Gong Manok, Kuala Besut cedera di badan dan terpaksa dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan apabila dilempar mercun oleh dua pemuda berumur 17 tahun.

Katanya, kedua-dua pemuda itu telah ditahan selepas keluarga kanak-kanak itu membuat laporan polis.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan bermain mercun, menjual atau memilikinya supaya menghubungi polis di talian 09-6956222/6959999 atau melaporkannya di mana-mana balai polis.