Kuala Terengganu: Berang dengan tindakan si adik menjatuhkan maruahnya pada majlis pernikahan, seorang abang bukan saja menggigit leher ...

Abang ‘tukar’ jadi drakula


Kuala Terengganu: Berang dengan tindakan si adik menjatuhkan maruahnya pada majlis pernikahan, seorang abang bukan saja menggigit leher malah menggugut mencederakan adiknya itu menggunakan cangkul serta pisau rambo.


Dalam kejadian di Pasir Panjang, di sini, Jumaat lalu suspek berusia 30 tahun pergi ke majlis perkahwinan adiknya di rumah pengantin perempuan di Pasir Panjang jam 12 tengah hari dan meminta RM50.

Menurut sumber, suspek yang juga anak kelima daripada tujuh beradik kerap meminta wang daripada mangsa berusia 27 tahun.

“Pada mulanya, mangsa tidak mengendahkan permintaan suspek, bagaimanapun tindakan abangnya yang tidak berhenti meminta wang menimbulkan perasaan kurang senang memandangkan ketika kejadian, terdapat ramai tetamu.

“Tidak tahan melihat perangai suspek yang memalukan dan merosakkan majlis pernikahannya itu, mangsa membaling sekeping RM50 ke atas jalan berhampiran meja makan pengantin.

“Namun, tindakan mangsa itu menyebabkan suspek yang juga bapa kepada tiga anak berasa terhina menyebabkannya menghampiri mangsa dan menggigit lehernya sebelum berlalu meninggalkan majlis itu tanpa mengambil wang berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, rasa tidak puas hati suspek tidak berakhir di situ apabila dia yang terserempak dengan mangsa di rumah keluarga mereka di Kuala Ibai, di sini, beberapa jam selepas majlis pernikahan itu sekali lagi mengugut mangsa.

“Ketika itu, mangsa pulang mengambil pakaian di rumah keluarga mereka dan terserempak dengan suspek yang mengugut menggunakan cangkul dan pisau rambo kononnya mahu membalas dendam kerana menganggap adiknya menjatuhkan maruahnya di hadapan orang ramai.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera akibat gigitan itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi berkata, suspek ditahan di rumah keluarganya beberapa jam selepas laporan dibuat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sumber dari: Metro