KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Wan Muhammad Azri Wan Deris yang disaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibra...

WAN MUHAMMAD AZRI NAFI DIRINYA 'PAPA GOMO'



KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Wan Muhammad Azri Wan Deris yang disaman
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung paparan
video seks dengan seorang lelaki, menafikan beliau pemilik blog ''Papa Gomo''.

Wan Muhammad Azri, 30, menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan semalam
di Mahkamah Tinggi di sini berkata alamat kediaman yang dinyatakan menerusi
saman itu juga bukan miliknya dan beliau tidak pernah mengenali Anwar secara
peribadi.

Beliau turut menafikan pernah menyiarkan sebarang perkataan atau imej
berunsur fitnah terhadap Anwar serta tiada sebarang niat jahat untuk merosakkan
reputasi Anwar sepertimana didakwanya.
Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Anwar memberitahu pemberita bahawa
dalam prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong telah menetapkan
5 Jun untuk pengurusan kes.

Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah
RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan
fitnah di laman blog www.papagomo.com pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.
Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang
difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi
menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.
- BERNAMA