Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa Jumaat i...

Tan Sri Khalid Ketua Polis Negara Malaysia Baru 2013


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baru berkuat kuasa tarikh sama.


Khalid menggantikan Tan Sri Ismail Omar, yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak esok. Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, pelantikan Bakri Zinin juga berkuat kuasa tarikh sama.

“Selaras peruntukan Perkara 140 (4) dan Perkara 140 (5) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan dua pelantikan jawatan khas itu berkuat kuasa 17 Mei,” katanya.

Khalid lulusan UIA

Khalid, 56, yang berasal dari Seremban dan memiliki ijazah perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menjalani latihan sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis pada 5 Disember 1976, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Anti-Narkotik Kedah pada 1997.
Enam tahun kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Polis Pahang dan pada tahun yang sama dilantik Ketua Polis Daerah Kuantan.

Pada 2005, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan pada Jun 2007 sebagai Ketua Polis Selangor.

Pada 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara setahun kemudian.

Bakri, 59, yang berasal dari Penampang, Sabah, memiliki Diploma Sains Kepolisan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memulakan perkhidmatan dalam polis pada 6 November 1975 sebagai inspektor percubaan.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Kudat, Ketua Polis Daerah Sandakan, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Ketua Polis Daerah Cheras dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

Pengalaman Bakri

Bakri juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Unit Risikan Jenayah D4 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah pada 2003 dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Pada 2006, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan menjadi pengarahnya setahun kemudian. Pada 2008 beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sumber dari: Bharian