WALAUPUN tempat kita masih terlindung daripada gempa bumi dahsyat, itu tidak semestinya bangunan kita terjamin kukuh sepanjang masa. Di Negeri Terengganu Darul Iman, kes runtuh sudah menjadi perkara biasa.
Terkini, Isnin lalu Masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu roboh. Tanpa ribut taufan, tanpa tsunami, bumbung rumah ibadat itu rebah ke bumi kira-kira 8.30 malam, sebaik selesai solat Isyak.
Untuk pengetahuan umum, masjid ini bukan diperbuat daripada plywood, bukan tiang buluh, bukan juga atap nipah. Keseluruhan struktur diperbuat daripada batu dan besi. Kos pembinaan pun bukan RM1,000, tetapi RM1.7 juta.
Usia masjid ini pun bukan seratus atau seribu tahun, tetapi baru lebih kurang lima tahun. Ia mula siap dan digunakan pada 2008. Kalau samakan dengan manusia, usia tersebut masih dianggap budak hingusan, belum akil baligh.
Bangunan baru, harga juta-juta, boleh runtuh dalam hembusan bayu malam yang sepoi-sepoi bahasa. Ini bukan lucu – ini sesuatu yang amat memalukan. Sekurang-kurangnya malu pada Tok Wan yang buat reban ayam daripada buluh, atap rumbia, tapi boleh tahan bertahun-tahun!
Walaupun tidak dinyatakan, rakyat percaya Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pun berasa malu. Beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat segera semua masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan masjid yang runtuh.
Beliau kesal masjid berkenaan tidak dipantau. Tetapi Pengarah JKR Datuk Shafii Mohamad berkata, pembinaan dan pemasangan masjid berkenaan mendapat kelulusan pihaknya.
JKR kata ‘OK’, tetapi terbukti masjid sudah ‘KO’. Maka rakyat, termasuk pengundi yang baru memangkah 5 Mei lalu, hanya geleng-geleng kepala dan bertanya sinis: “Guane ni, wehhh?”
Ini bukan insiden pertama masjid runtuh di Darul Iman. Belum lama dulu Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, turut menyembah bumi. Masjid yang belum setahun digunakan – bau cat pun belum hilang – tibatiba roboh.
Memang, dalam kedua runtuhan masjid itu tidak ada nyawa melayang. Tetapi sesetengah orang sudah mula syak dan bimbang untuk
bersolat di mana-mana masjid baharu, takut-takut tengah sujud bumbung jatuh atas kepala!
Di Negeri Penyu, bukan masjid sahaja runtuh. Telah terbukti sebelum ini bangunan dan struktur yang lebih besar lagi gah pun boleh rebah. Tentu semua masih ingat insiden Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu.
Stadium berharga hampir RM300 juta itu sepatutnya menjadi mercu tanda kecemerlangan sukan di negeri keropok lekor. Tetapi pada Jun 2009, baru beberapa bulan siap, stadium berkenaan runtuh. Belum sempat dirasmikan stadium kebanggaan yang bakal digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) tahun itu runtuh. Bayangkan sekiranya nahas itu terjadi ketika Sukma sedang dilangsungkan!
Stadium runtuh itu dibaik pulih, dengan belanja tambahan RM juta-juta lagi. Malangnya kerja baik pulih belum selesai, pada 24 Februari lalu, struktur berkenaan runtuh semula. Ini mungkin satu-satu stadium dalam dunia yang runtuh dua kali, boleh masuk buku rekod dunia!
Dua kali runtuh, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Arkitek Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah– kini YB Kuala Terengganu– membidas kerajaan negeri yang didakwa lewat bertindak membaik pulih stadium berkenaan ketika runtuh kali pertama dulu.
Sebagai salah seorang arkitek perunding yang dilantik dalam pembinaan bumbung stadium itu beliau pernah mengemukakan cadangan bertulis kepada kerajaan negeri, tetapi cadangan pakar itu tidak dipedulikan.
Menurut cerita, pereka bumbung stadium berasal dari Korea Selatan. Tetapi tiada maklumat terperinci mengenai identiti individu berkenaan. Sepatah kata Raja Bahrin: “Sehingga kini, kita tidak tahu siapa sebenarnya orang Korea yang mereka bumbung ini (stadium). Apa nama dia, kerana rakyat berhak tahu.”
Baik masjid runtuh atau stadium runtuh, rakyat mahu kerajaan negeri bertindak tegas mengesan siapa punca keruntuhan. Mereka yang melakukan kesalahan, atau yang bersubahat, hendaklah dihukum.
*AKHIR kalam, kalau tidak ada tindakan tegas, tidak ada yang kena hukum, banyak lagi keruntuhan akan terjadi. Takuttakut nanti Terengganu Darul Aman digelar ‘Terengganu Darul Runtuh’.
Sumber dari: Sinar