Tanpa menggunakan petua atau jamu khas, seorang wanita yang kini berusia 58 tahun di Chendering di sini, boleh digelar ‘isteri power’ k...

Isteriku ‘power’


Tanpa menggunakan petua atau jamu khas, seorang wanita yang kini berusia 58 tahun di Chendering di sini, boleh digelar ‘isteri power’ kerana melahirkan 21 anak tanpa pembedahan sepanjang berkahwin dengan suaminya sekarang sejak 1969.


Esah Mohammad berkata dia tidak pernah mengamalkan sebarang petua untuk mendapatkan ramai anak atau bagi memudahkan bersalin sebaliknya berdoa agar kelahiran bayinya dipermudahkan setiap kali hamil.

Menurutnya, dia berkahwin dengan Said Deraman, 64, ketika berusia 14 tahun pada 1969 dan melahirkan anak pertama setahun kemudian sebelum anak seterusnya hampir setiap tahun.

“Alhamdulillah pada usia semuda itu, saya tidak menghadapi masalah bersalin. Amalan saya hanya berdoa dan setiap kali bersalin, Allah memberi kekuatan untuk saya melahirkan semua anak dengan mudah.

“Saya melahirkan 17 anak dengan bantuan bidan kampung tetapi ada juga dilahirkan secara sendirian di rumah manakala selebihnya bersalin di hospital.

“Bagaimanapun, dua anak saya meninggal dunia dalam kandungan ketika masing-masing berusia enam dan tujuh bulan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu 6, Chendering di sini, semalam.

Menurutnya, 19 anaknya yang masih hidup kini berusia antara 13 hingga 43 tahun tetapi sembilan daripadanya tinggal berasingan kerana sudah berkeluarga.

Esah berkata, dia dan suami tidak pernah mengimpikan mempunyai anak ramai, namun bersyukur dengan kurniaan Allah itu.

“Walaupun tidak memiliki kekayaan harta benda tetapi kami bangga serta bersyukur kerana memiliki ramai anak dan mereka adalah harta kami yang sangat bernilai.

“Mungkin faktor keturunan menyebabkan saya ramai anak kerana dalam keluarga, ibu saudara ada 26 anak dan ada yang mempunyai lebih 10 anak,” katanya.

Menurutnya, selepas bersalin anaknya yang ke-21 pada usia 45 tahun, doktor memaklumkan dia boleh mengandung lima kali lagi tetapi kerana faktor kesihatan, doktor menasihatkannya supaya tidak lagi hamil dan diberi suntikan perancang keluarga.

“Pada mulanya suami tidak bersetuju kerana beranggapan anak adalah harta amanah Allah namun akhirnya akur dengan keputusan itu kerana bimbangkan keselamatan saya,” katanya.

Sementara itu, Said berkata dia tidak pernah beranggapan anak ramai sebagai bebanan kepadanya yang bekerja sebagai penjual ikan.

Katanya, demi anak dia sanggup melakukan apa saja dan pada 1980-an, pernah meredah laut bergelora semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli susu.

Sumber dari: Metro