Tengku Adnan bersama ketua Bahagian Perhubungan Veteran Umno seluruh Malaysia ketika melancarkan Gerak Kerja Veteran Umno, Keluargaku Pen...

Tengku Adnan dakwa Senator Australia Xenophon bias

Tengku Adnan bersama ketua Bahagian Perhubungan Veteran Umno seluruh Malaysia ketika melancarkan Gerak Kerja Veteran Umno, Keluargaku Pengundi BN di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa Senator Australia, Nick Xenophon, yang dihalang daripada memasuki negara ini kelmarin, seorang yang bias.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, beliau mengenali personaliti Xenophon ketika bertemu senator itu bersama beberapa wakil dari Australia di ibu pejabat BN  atas permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Anwar meminta saya berjumpa 12 hingga 13 pihak yang dikatakan tidak berpihak kepada sesiapa sedangkan mereka itu memihak kepada pembangkang.
"Tetapi pengalaman saya dengan 'lelaki ini', saya boleh katakan dia bukan orang yang bebas seperti yang didakwa," katanya kepada media selepas melancarkan Gerak Kerja Veteran Umno, Keluargaku Pengundi BN di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan Xenophon yang ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah, Sepang.

Xenophon yang menjadi fokus kontroversi kerana didakwa mencampuri urusan Malaysia bagaimanapun telah dihantar pulang ke Australia selepas siasatan pihak berkuasa.
Laporan portal berita ABC menyebut ahli Parlimen bebas itu ditahan atas alasan risiko keselamatan.
Tengku Adnan menambah, dari pengalaman berdialog dan berbincang Xenophon, beliau tahu ahli politik itu tidaklah sebebas seperti yang didakwa.

"Saya tak takut, saya jumpa juga mereka, sebab itu saya jumpa juga mereka untuk menerangkan apa yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Malah apabila mereka mendesak supaya pengerusi SPR letak jawatan kerana semua tindakan yang dilakukan adalah salah, saya bagitau kumpulan itu, permintaan itu tidak adil.

"Yang salah siapa sebenarnya?" Jelas beliau lagi.
Mengulas lanjut mengenai punca penahanan senator dari Australia itu, Tengku Adnan bagaimanapun menafikan mempunyai maklumat mengenainya.
"Saya tidak tahu mengapa beliau ditahan tetapi mungkin atas sebab-sebab tertentu yang kita pun tak tahu.
"Ini adalah undang-undang imigresen negara kita, kita harus hormatinya," katanya lagi.

Sumber dari: Sinar