KUALA LUMPUR - Scooter Braun Projects, syarikat pengurusan bintang popular Korea Selatan Psy, yang dikenali dunia dengan lagu Gangnam S...

Persembahan Psy RM 2Juta bukan dibayar kerajaan Malaysia - Scooter Braun Projects



KUALA LUMPUR - Scooter Braun Projects, syarikat pengurusan bintang popular Korea Selatan Psy, yang dikenali dunia dengan lagu Gangnam Style semalam menyatakan bahawa mereka tidak pernah diminta atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan penyanyi itu di Pulau Pinang baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, pengurusan itu menegaskan bahawa berita dan artikel yang tersebar dalam internet yang mendakwa sebaliknya adalah anggapan semata-mata dan ternyata tidak benar.

"Scooter Braun Projects ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah diminta atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan artis tersebut di Pulau Pinang, Malaysia baru-baru ini," menurut kenyataan itu.

Pengurusan itu turut menafikan dakwaan di beberapa blog kononnya kerajaan Malaysia menaja persembahan artis itu pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 1Malaysia di Pulau Pinang Isnin lepas.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa persembahan Psy di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia itu tidak melibatkan wang rakyat.

Persembahan Psy adalah kemuncak majlis yang dihadiri ribuan orang anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang di Kolej Han Chiang.- Bernama