MELAKA: “Tolong lepaskan saya, saya mengandung dan seorang lagi anak tinggal di rumah dengan emak. Kasihan anak dan emak saya.”
Begitu rayuan seorang remaja sarat mengandung enam bulan yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, di sini, awal pagi semalam, dalam Ops Ambang Tahun Baru membabitkan beberapa agensi kerajaan di negeri ini.
Bagaimanapun, rayuan dan tangisan remaja berusia 19 tahun itu gagal menarik simpati anggota penguat kuasa sebaliknya dia ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kerana berpakaian tidak sopan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Remaja itu mendakwa ditinggalkan suami Jun lalu dan datang ke pusat hiburan berkenaan untuk menyambut tahun baru bersama rakannya, manakala anak perempuannya berusia dua tahun ditinggalkan di rumah bersama ibunya di Gadek, Alor Gajah.
Ibu muda itu antara tujuh ditahan Jaim termasuk tiga pasangan kekasih dalam operasi berkenaan. Seramai 41 individu berusia 19 hingga 35 tahun termasuk ibu muda itu diberikan notis saman atas kesalahan berpakaian tidak sopan dan minum minuman memabukkan.
Operasi bersepadu selama lima jam bermula jam 12 tengah malam itu membabitkan 45 anggota penguat kuasa dari Jaim, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Imigresen negeri, Polis Diraja Malaysia, Polis Tentera dan Invest Melaka Berhad.
Suasana di dua pusat hiburan di Melaka Raya yang diserbu sedikit kecoh apabila kebanyakan pelanggan di dua premis berkenaan lari lintang-pukang bagi meloloskan diri daripada pemeriksaan. Malah, sebahagian daripada mereka merempuh pintu di bahagian tepi premis.
Keadaan juga tegang apabila seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat hiburan itu berang dan enggan memberi kerjasama kepada pegawai polis bagi menjalankan pemeriksaan di dalam premis berkenaan.
Ketua Unit Operasi yang juga Penolong Pengarah Bahagian Penguakuasa Jaim, Zurul Iman Zakaria berkata, pihaknya mengeluarkan 41 notis saman terhadap individu berusia 19 hingga 35 tahun membabitkan kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
“Seramai 12 individu diberikan notis saman mengikut Seksyen 50 kerana minum minuman memabukkan, manakala 29 yang lain diberikan notis saman di bawah Seksyen 71 kerana berpakaian tidak sopan.
“Serbuan dijalankan di empat hotel bajet turut menahan tiga pasangan kekasih mengikut Seksyen 53 kerana bersekedudukan tanpa ikatan sah, manakala seorang remaja sarat mengandung diberikan notis saman kerana berpakaian tidak sopan turut ditahan disebabkan tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.
Sumber dari: Metro