ZUHARI bersama sebahagian daripada koleksi Batman. BAGI peminat setia watak adiwira Batman, tidak sah jika tidak memiliki koleksi main...

Zuhari bina kenderaan Batman


ZUHARI bersama sebahagian daripada koleksi Batman.

BAGI peminat setia watak adiwira Batman, tidak sah jika tidak memiliki koleksi mainan dan replika daripada siri filem tersebut sama ada figura watak utama mahupun kenderaannya.

Seperti pengumpul lain, Zuhari Mat Daud tidak terkecuali 'memburu' permainan atau Hot Toys superhero kelawar tersebut terutamanya kenderaan Batman seperti Batmobile, The Tumbler, Batpod dan The Bat.

Namun, bagai tidak puas dengan koleksi yang dimilikinya, Zuhari melahirkan kreativiti dengan membina sendiri sebuah pesawat Batman daripada filem The Dark Knight Rises iaitu The Bat.

Menggunakan segala kepakaran yang ada sesuai kerjayanya dalam bidang seni dan rekaan, Zuhari membina The Bat berskala 1/10 menggunakan papan PVC yang dilengkapi dengan lampu serta kipas.

"Saya membuat keputusan untuk membina The Bat lebih besar daripada koleksi yang dibeli sebelum ini dan berjaya menyiapkannya tidak sampai seminggu.

"Ketika mula membinanya, perasaan tidak sabar melihat hasilnya membuatkan saya tidak keluar rumah dari pagi hingga malam untuk memberi sepenuh tumpuan kepadanya.

"Setakat ini rasanya tidak ada lagi replika The Bat sebesar ini yang saya temui," ujarnya yang juga kini sibuk menyiapkan sebuah lagi The Bat yang ditempah rakannya.

Cerita Zuhari, obsesinya terhadap sisi lain karakter fiksyen Bruce Wayne ini bermula sejak menonton Dark Knight pada 2008 di pawagam.

Ketika itu, dia jatuh cinta dengan kehebatan rekaan kenderaan Batman iaitu The Tumbler kerana berbeza dengan kenderaan Batman yang lain sebelumnya iaitu mempunyai ciri kereta kebal.

Sejak itu, Batman terutama kenderaannya menjadi buruan Zuhari yang sebelum itu turut aktif mengumpul Transformers dan permainan lain.

"Tidak dinafikan duit memang banyak habis dalam mengumpul koleksi permainan tetapi saya tidak menganggap ia sebagai satu pembaziran.

"Bagi saya, lebih puas bila dapat memiliki barang idaman setelah penat bekerja keras.

"Lagipun, ia pelaburan yang bagus kerana harga koleksi permainan akan naik, tambah lagi ia edisi terhad dan sudah tidak dihasilkan," ujar Zuhairi.

Sumber dari: Utusan