ALOR SETAR: Dua bersaudara melalui detik hitam apabila seorang daripada mereka dirogol, manakala sepupunya dicabul seorang pengamal per...

Muslihat bomoh buang batu dari alat sulit



ALOR SETAR: Dua bersaudara melalui detik hitam apabila seorang daripada mereka dirogol, manakala sepupunya dicabul seorang pengamal perubatan ketika mendapatkan rawatan tradisional membuang sihir di sebuah rumah sewa di Taman PKNK, di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang, pada 11 November tahun lalu, mangsa yang berusia 12 tahun mendakwa dirogol beberapa kali oleh pengamal perubatan yang dikenali sebagai Walid berusia 64 tahun ketika mendapatkan rawatan membuang batu dari kemaluan mangsa.

Difahamkan, bomoh terbabit dipercayai memberikan mangsa pil khayal sebelum merogolnya.

Ibu mangsa yang dikenali sebagai Senah, 47, berkata dia mula menghantar anak perempuannya itu untuk rawatan rutin dengan lelaki terbabit sejak September tahun lalu.

Menurutnya, dia telah diperkenalkan kepada bomoh itu oleh seorang rakan apabila dia mencari seorang pengamal perubatan tradisional untuk mengubati penyakit kulit ibunya yang mengalami masalah gatal-gatal.

“Pertama kali ketika membawa ibu saya berjumpa dengan bomoh terbabit, saya turut membawa anak perempuan saya ke rumah sewa lelaki terbabit di Taman PKNK, di sini, sejak September lalu.

“Ketika ibu saya mendapatkan rawatan, Walid ada beritahu anak perempuan saya seperti terkena sihir dan perlu membuang batu dalam badan melalui kemaluan mangsa.

“Walid beritahu penyakit anak saya perlu dirawat segera sebelum keadaannya bertambah teruk,” katanya, semalam.

Senah yang juga ibu tunggal berkata, dia yang bimbangkan keadaan anaknya itu bersetuju menerima tawaran bomoh terbabit untuk mengubati penyakit anaknya.

“Sejak mula berubat dengan Walid, boleh dikatakan setiap minggu saya dan anak mengunjungi Walid di rumah sewanya.

“Setiap kali rawatan, Walid minta anak perempuan saya berada dalam bilik bersamanya, manakala saya diminta menunggu di luar.

“Selepas sejam mendapatkan rawatan itu, Walid akan menunjukkan batu kecil yang didakwa dikeluarkan dari kemaluan anak saya,” katanya.

Beliau berkata, namun pada 11 November tahun lalu, bomoh terbabit mengarahkan dia supaya meletakkan anak perempuan di bawah jagaannya kerana mahu mengambil masa yang lama untuk merawat mangsa.

“Saya tidak sedap hati lalu meminta anak saudara perempuan saya yang berusia 16 tahun menemani anak saya untuk berubat.

“Saya terkejut apabila diberitahu anak saudara saya yang dia turut mengalami nasib sama apabila bomoh terbabit mencabulnya dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.

“Beberapa hari selepas kejadian itu barulah anak saya menceritakan perkara sebenar yang dia dirogol bomoh berkenaan,” katanya.

Senah berkata, dia terus membuat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, dan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan anaknya.

“Sejurus mendapatkan rawatan di HSB, saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, pada 29 Februari lalu berhubung kejadian itu.

“Selepas mengetahui kegiatannya dikesan pihak berkuasa, bomoh terbabit terus melarikan diri dan gagal dikesan sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengamal Bekam Sunnah dan Ruqyah Malaysia, Syed Araniri Syed Ahmad berkata, pihaknya menerima lebih 20 aduan daripada mangsa yang mendakwa dicabul dan dirogol ketika mendapatkan rawatan daripada bomoh berkenaan.

“Kebanyakan mangsa tidak membuat laporan polis kerana malu disindir masyarakat. Saya minta mereka yang pernah mendapatkan rawatan dengan bomoh terbabit sehingga mencemarkan maruah mereka supaya tampil membuat laporan.

“Kita jangan biarkan lelaki itu bebas dan kami bimbang dia buat perkara sama ke atas orang lain,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya berusaha menjejaki suspek terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur,” katanya.

Sumber dari: Metro