Awie bergambar bersama pelatih PLKN Kem Gemilang, Gopeng di Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak.
IPOH: Penyanyi rock dan pelakon popular tanah air, Ahmad Azhar Othman atau dikenali sebagai Awie dilantik sebagai duta remaja Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP) untuk menarik lebih ramai remaja supaya mengamalkan keperibadian mulia.
Yang Dipertua PSIP, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor, berkata sebagai sebuah pertubuhan dakwah tertua di Perak, PSIP yakin dengan pelantikan Awie dapat menarik lebih ramai di kalangan remaja untuk mengamalkan budaya hidup yang lebih positif.
"Kita boleh bekerjasama dengan golongan seni dalam usaha menerapkan nilai murni Islam kepada remaja,” katanya pada majlis memperkenalkan duta remaja PSIP dan pelancaran Program Khidmat Komuniti serta Perhimpunan Remaja di Kompleks PSIP di sini, kelmarin.
Sementara itu, Awie berkata, beliau secara peribadi terkejut dengan pelawaan PSIP memandangkan amanah yang bakal dipikul adalah sesuatu yang sangat besar.
"Saya terperanjat apabila dilantik sebagai duta PSIP kerana saya adalah insan kerdil dan ia menjadi satu penghormatan kepada anak seni seperti saya. Walaupun ia bukan satu perkara mudah, namun ia adalah satu amanah bagi menyedarkan generasi muda remaja masa kini," katanya.
Sumber dari: Berita Harian