KUALA LUMPUR: Berang isterinya bekerja pada hari minggu, seorang lelaki berusia lewat 30-an bukan saja menumbuk, malah turut menyepak t...

Suami berang pukul isteri kerja hari minggu sampai pengsan



KUALA LUMPUR: Berang isterinya bekerja pada hari minggu, seorang lelaki berusia lewat 30-an bukan saja menumbuk, malah turut menyepak terajang wanita terbabit dalam kejadian di rumah mereka di Pandan Ria, di Ampang Jaya, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta disambut suaminya di rumah dengan maki hamun sebelum memukul wanita terbabit hampir 10 minit.

Menurut sumber, mangsa terpaksa keluar bekerja pada hari berkenaan disebabkan ada masalah di pejabatnya.

“Si suami (suspek) yang pulang ke rumah kira-kira jam 8 pagi (Ahad) berang selepas mendapati isterinya tiada di rumah.

“Lelaki terbabit menghubungi wanita berkenaan sebelum dimaklumkan mangsa bahawa dia berada di pejabat bagi menyelesaikan beberapa masalah,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 11 malam menambahkan kemarahan suaminya itu.

“Sebaik tiba di rumahnya, mangsa dimaki hamun suaminya itu. Biarpun cuba ditenangkan wanita berkenaan, suspek yang hilang pertimbangan terus menumbuk dan menyepak terajang wanita terbabit.

“Mangsa dipukul suaminya itu hampir 10 minit. Suspek hanya berhenti memukul mangsa selepas melihat isterinya itu pitam,” katanya.

Katanya, selepas isterinya tersedar kira-kira lima minit kemudian, suspek keluar meninggalkan rumah berkenaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan badan kemudian bergegas membuat laporan di Balai Polis Ampang,” katanya.

Tambahnya, mangsa yang dirujukkan ke hospital berhampiran bagaimanapun hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Sumber dari: Metro