JITRA: Tanda tanya kehadiran sebuah Perodua Kancil yang diparkir di tepi jalan berhampiran Kampung Pulau Ketam, Jalan Tunjang, dekat sini...

Gempar ‘tidur’ tanpa baju



JITRA: Tanda tanya kehadiran sebuah Perodua Kancil yang diparkir di tepi jalan berhampiran Kampung Pulau Ketam, Jalan Tunjang, dekat sini, hampir tujuh jam membawa penemuan seorang lelaki dalam keadaan sudah tidak bernyawa, kelmarin.


Mayat lelaki berusia 30-an dari Kampung Meleleh, Kodiang itu ditemui di tempat duduk pemandu yang dijatuhkan tanpa memakai baju, kira-kira jam 6.30 petang oleh penduduk yang mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila mendapati mangsa ‘tidur’ sejak tengah hari.

Saksi, Nordin Ahmad, 51, berkata dia ternampak seorang lelaki tidur dalam kereta itu ketika menunggang motosikal menjemput anaknya pulang dari sekolah kira-kira jam 12 tengah hari, namun mulanya menyangka lelaki itu mungkin berhenti rehat.

Menurutnya, kereta itu masih berada di kawasan sama walaupun sudah berulang-alik dari rumah ke kawasan berhampiran menyebabkannya mengesyaki sesuatu mencurigakan.

“Saya tidak sedap hati apabila pemandu itu masih ‘tidur’ dalam kereta, malah ketika jam 6.30 petang (kelmarin) ketika ke pasar malam di Taman Suria, saya dapati kereta itu masih berada di tempat kejadian.

“Berikutan itu, saya mengajak seorang rakan yang bekerja di sebuah bengkel berhampiran melihat keadaan lelaki berkenaan dipercayai tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Nordin berkata, dia cuba menggoyang kereta itu dan mengetuk cermin tingkap beberapa kali dengan harapan lelaki itu tersedar, namun tiada tindak balas.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian kerana bimbang sesuatu buruk berlaku selain menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Jitra (HJ) mendapatkan rawatan.

“Sebaik peronda tiba di tempat kejadian, mereka mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia menyebabkan saya terkejut dan tidak menyangka lelaki yang dipercayai tidur dalam kereta itu sudah mati,” katanya.

“Ketika itu, saya nampak ada seekor kucing turut berada dalam kereta itu yang berkunci dari dalam tetapi tidak kenal lelaki itu dan mungkin bukan orang kampung ini.

“Saya mengesyaki mungkin mangsa mati akibat lemas kerana enjin kereta itu terpasang atau saya syak mungkin dia ada mengambil ubat berlebihan atau sebaliknya,” katanya.

Pasukan forensik kemudian memeriksa tempat kejadian dan membawa mayat mangsa ke HJ untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, setakat ini kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut kerana pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa.

Sumber dari: Metro