KUALA LUMPUR: Isteri pengasas Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Md Yunus, 42, Datin Nurhanizatul Shida Mat Hassan yakin suamin...

Suami Saya Tiada Hubungan Dengan Tasha Shilla – Isteri Datuk Jamal, Pemilik Restoran



KUALA LUMPUR: Isteri pengasas Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Md Yunus, 42, Datin Nurhanizatul Shida Mat Hassan yakin suaminya tiada hubungan istimewa dengan pelakon Tasha Shilla.



“Sebenarnya, saya sudah penat menjawab tuduhan banyak pihak dan blog tertentu yang mengaitkan pelakon itu dengan suami saya. Saya lebih kenal suami saya!” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Sebelum ini, gosip mengaitkan pelakon filem Ratu The Movie dan pernah membintangi beberapa drama itu ada hubungan istimewa dengan ‘Datuk J’, bahkan sering dilihat berkereta mewah yang dikatakan pemberian ahli perniagaan berkenaan.

Nurhanizatul Shida yang mesra disapa Ekin, 28, turut terkena tempias apabila ramai menuding jari bahawa Datuk J adalah suaminya. Bagaimanapun, dia bertegas mengatakan, usahawan yang dikaitkan dengan pelakon berusia 24 tahun itu sebenarnya orang lain.

Dia bagaimanapun tidak menafikan pada awal gosip itu melanda, pernah tanya suami untuk mendapatkan kepastian walaupun tahu sepanjang selama lima tahun perkahwinan mereka, tidak pernah timbul masalah.

“Suami meminta saya bersabar dan tidak mudah percaya gosip mengaitkan dia dengan mana-mana wanita atau artis. Tidak dinafikan, hati isteri mana tidak cuak mendengar cerita itu pada mulanya.

“Untuk itu, saya selalu mencuri baca khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan di telefon bimbit suami untuk mencari bukti.

“Bagaimanapun, suami menyatakan kesibukan berniaga menyebabkan dia tidak ada masa untuk melayan cerita remeh-temeh dan meminta saya tidak cepat melenting dengan gosip itu,” katanya.

Ekin tidak menafikan dia dan suami rapat dengan Tasha dan keluarga pelakon itu, malah mereka pernah berkunjung ke restoran miliknya di Ampang Point.

Katanya, suaminya turut memiliki perniagaan kereta import iaitu IBM Automobiles serta memiliki rangkaian di United Kingdom (UK) dan mempunyai hubungan baik dengan beberapa artis terkenal tanah air.

Tambah pemilik Ekin Bridal yang beroperasi di Centrum Setiawangsa, Taman Setiawangsa, itu, rumah tangga mereka makin bahagia dengan kehadiran cahaya mata, Mohd Addyka yang baru berusia lima bulan.

Sumber dari: Metro