JOHOR BHARU - Sepasang suami isteri memfailkan saman terhadap empat anggota polis dan tiga yang lain bagi menuntut ganti rugi kerana me...

Suami isteri saman polis atas kecuaian tembak mati anak mereka



JOHOR BHARU - Sepasang suami isteri memfailkan saman terhadap empat anggota polis dan tiga yang lain bagi menuntut ganti rugi kerana mendakwa secara cuai menembak mati anak lelaki mereka empat tahun lepas.

Sapiah Md Ellah, 54, dan suaminya, Arin Abdullah, 59, dari Felda Simpang Waha, Kota Tinggi, menamakan Konstabel Mohd Izzuddin Rahim, Koperal Masrom, Kostabel Nazmi dan Konstabel Ridzuan sebagai empat responden utama dalam saman yang difailkan menerusi Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi (Sivil) kira-kira jam 11.30 pagi di sini hari ini.

Plaintif turut menamakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Seri Alam, ASP Sahul Hameed Abdul Rahman, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kelima, keenam serta ketujuh.

Kedua-dua suami isteri itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas sebanyak RM1,850, ganti rugi teruk dan atau gantirugi teladan serta ganti rugi kesedihan dan kedukacitaan.

Mereka menuntut empat peratus kadar faedah setahun terhadap jumlah penghakiman untuk ganti rugi khas dikira bermula 20 Oktober 2009 (tarikh kejadian) hingga tarikh penyelesaian penuh kes.

Plaintif menuntut kadar faedah yang sama terhadap jumlah penghakiman untuk ganti rugi am dikira daripada tarikh writ saman hingga tarikh penyelesaian penuh, selain kos dan apa jua perintah serta relif lain yang difikirkan patut dan wajar oleh mahkamah.

Sapiah berkata, tindakan saman itu adalah bagi menuntut keadilan dan membersihkan nama baik anak serta keluarganya kerana yakin anaknya, Mohd Afnam Arin tidak bersalah.

"Anak saya tidak bersalah dan kematiannya juga lambat dimaklumkan. Malah sehingga kini polis gagal melengkapkan siasatan terhadap kejadian itu (di Taman Johor Jaya, pada 20 Oktober 2009) Usaha saya mendapat maklum balas pihak polis juga tidak berhasil.

"Arwah adalah anak keenam daripada tujuh beradik dan seorang yang lemah lembut dan sentiasa disukai. Saya terkilan apabila anak saya dituduh terbabit dalam kes jenayah sehingga dia mati ditembak polis," katanya.

Dalam tuntutannya itu, Sapiah dan Arin mendakwa anak mereka Mohd Afham, yang ketika itu berusia 19 tahun, meninggal dunia selepas terkena tiga das tembakan ketika bersama rakan sebaya yang masih hidup, Mohd Firdaus Marsani.

Kejadian berlaku ketika pelajar Kolej Komuniti Ledang itu yang sedang menjalani latihan praktikal di Larkin membonceng motosikal bersama rakannya sebelum dihampiri keempat-empat defendan utama yang menjerit perkataan 'polis' sebelum cuba menghadang bagi memberhentikan motosikal berkenaan.

Mangsa dikatakan terkejut dan ketakutan kerana beranggapan defendan yang berpakaian preman, menunggang motosikal biasa dan tidak menunjukkan kad kuasa adalah perompak, lalu bertindak melarikan diri sebelum dikejar.

Ketika tiba di persimpangan Jalan Persiaran Seri Alam, keempat-empat defendan dikatakan melepaskan tembakan menyebabkan mangsa dan rakannya terjatuh.

Mengikut laporan perubatan, Mohd Afnam meninggal dunia akibat tembakan di dada, manakala Mohd Firdaus sempat menyelamatkan diri. - Bernama

Sumber dari: Berita Harian