KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini menjadi kecoh apabila usul memotong gaji menteri, yang dikemukakan oleh tiga ahli Parlimen pembangkang ditolak oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana ia menyalah guna Peraturan Tetap 66(9).
Pandikar berkata, jika usul itu diterima akan mengundang masalah dan Dewan Rakyat tiada wajar berbuat demikian.
"Gaji adalah hak individu dan ia bermaksud menteri itu mempunyai hak ke atas gaji mereka. Dewan ini tidak mempunyai hak untuk mengambilnya," katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada 17 Oktober lalu mengusulkan supaya memotong RM10 daripada gaji Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri kerana didakwa telah menyalah guna Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd.
Kata beliau, "selain itu usul perlu memberikan alasan bagi pengurangan tersebut dan memberikan suatu justifikasi terperinci bagi alasan pengurangan tersebut."
Beliau yang meneliti usul itu turut menegaskan keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang persoalan perundangan ditimbulkan.
Sumber dari: Sinar