AIR KUNING – Seorang suri rumah trauma apabila anaknya yang berusia lapan bulan diacu pisau pada leher oleh seorang lelaki yang pada aw...

Bayi 8 bulan diacu pisau



AIR KUNING – Seorang suri rumah trauma apabila anaknya yang berusia lapan bulan diacu pisau pada leher oleh seorang lelaki yang pada awalnya mengakui sebagai seorang anggota polis.

Pada kejadian yang berlau sekitar jam 12 tengah hari Rabu lalu itu, mangsa, N Amuga, 35, didatangi tiga lelaki di rumahnya, dekat sini.

Menurutnya, salah seorang daripada mereka memakai topi dan jaket yang tertera logo polis.

"Menyangka mereka adalah polis saya kemudiannya membuka pintu rumah dan keluar ke beranda mendekati pagar yang masih berkunci.

"Salah seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan meminta saya menunjukkan kad pengenalan sebelum dimaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah kes jenayah," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Amuga berkata, sebaik diminta menunjukkan kad pengenalan, dia segera masuk ke dalam bagi mengambil dokumen berkenaan.

"Ketika berada di dalam rumah, tiba-tiba dua daripada lelaki berkenaan turut berada di dalam rumah dipercayai masuk dengan memanjat pagar rumah saya.

"Ketika itu saya berada di dalam rumah bersama dua anak berusia lapan bulan dan 10 tahun sementara suami keluar bekerja," katanya.

Katanya, salah seorang lelaki itu kemudiannya mengacukan pisau ke leher bayi saya dan mengarahkan saya menyerahkan semua barang kemas sementara seorang lagi lelaki menggeledah almari.

"Kejadian berlaku begitu pantas. Kurang dari lima minit kemudian kesemua mereka yang pada anggaran saya berusia antara 20 hingga 30 tahun melarikan diri.

"Semua barang kemas dan wang tunai yang mana kesemuanya dianggarkan lebih RM30,000 dilarikan mereka," katanya.

Malah katanya, akibat kejadian itu, dia mengalami trauma dan sentiasa dalam ketakutan sekiranya ada orang datang ke rumah.

Sementara suami mangsa, K Rajamanikam, 43, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian itu oleh isterinya.

"Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana isteri dan anak tidak dicederakan oleh penjenayah itu.

"Berikutan kejadian ini, satu laporan dibuat di Balai Polis Linggi," katanya.

Sumber dari: Sinar