UCAPAN BAJET TAHUN 2013 Oleh YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

TEXT PENUH UCAPAN BAJET TAHUN 2013


UCAPAN BAJET TAHUN 2013

Oleh

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK

PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

KETIKA MEMBENTANG

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2013)

DI DEWAN RAKYAT

PADA JUMAAT, 28 SEPTEMBER 2012

“MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT:

SEBUAH JANJI DITEPATI”

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta  bagi menggunakan  sejumlah  wang  daripada  Kumpulan  Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013
dan
bagi memperuntukkan wang itu untuk  perkhidmatan bagi kali kedua. bagi tahun  itu” dibaca


MUQADDIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa :

“Berlumba-lumbalah  kamu  mengerjakan  kebaikan,  kerana  di  mana  sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk  menerima  balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita  telah  menyaksikan  sepanjang  tempoh  tersebut,  melalui  usaha  kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi   daripada   kesan   terburuk   akibat   kegawatan   kewangan   global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara  maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.

2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia  manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama. Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.

3. Kerajaan   ini   hakikatnya   tidak   pernah   menjanjikan   bulan,   bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini

tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat.  Kita  tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipurlara sebaliknya   sentiasa   menawarkan penyelesaian serta kepimpinan   bitara terhadap segala permasalahan rakyat.

4. Telah   terbukti   tanpa   tersanggah   lagi   bahawa   ekonomi   Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat. Ia  merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. Ia sumbangan masyarakat  desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani,   buruh,   peladang,   pekebun   kecil,   nelayan,   guru,   pensyarah   dan karyawan.  Didukung   pula   para  penjawat  awam  dan  usahawan.  Di  atas segalanya,  ia  diuruskan   secara   teliti  dan  berhemah  oleh  Kerajaan  yang meletakkan  kebajikan  rakyat  di   atas  jemalanya.  Inilah  formula  kejayaan Malaysia.

5. Sayugia,  mengurus  sebuah  negara  majmuk  yang  kompleks  seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.

6. Sesungguhnya  waad yang  wujud  itu,  di  antara  rakyat  dan  Kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan  mehnah   melanda.  Sehubungan  itu,  naskah  bajet  yang  akan  saya persembahkan  ini  merupakan  sebuah  penghargaan  kepada  seluruh  rakyat Malaysia lantaran terus  meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang
ketika.


PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013

7. Kerajaan  komited  dalam  memastikan  pertumbuhan  ekonomi  negara terus  berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah  membolehkan ekonomi negara  berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh  pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar
5.1  peratus  didorong,  terutamanya  oleh  kekukuhan  aktiviti  pelaburan  dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing   bersih   berjumlah   13.6   bilion   ringgit   selaras   dengan   peningkatan keyakinan  pelabur  terhadap  Malaysia  sebagai  destinasi  pelaburan  pilihan utama.

8. Bagi  keseluruhan  tahun  2012,  walaupun  pertumbuhan  ekonomi  dan perdagangan   dunia   sederhana,   pertumbuhan   ekonomi   negara   dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh  pelaburan  swasta  sebanyak  11.7  peratus  atau  mencapai  127.9  bilion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion  ringgit  pada  tahun  2009.  Trend  ini  menunjukkan  aktiviti  pelaburan domestik  semakin  rancak,  terutama  dengan  pelaksanaan  projek-projek  di bawah  Program  Transformasi  Ekonomi.  Ini  mendorong  sektor  pembinaan terus melonjak  tinggi  sebanyak  15.5  peratus  berbanding  4.6  peratus  pada tahun 2011.

9. Persekitaran ekonomi domestik  yang  mantap juga mendorong bursa saham  mencatat  prestasi  yang  menggalakkan.  Ini  terbukti  dengan  Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada
4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada  999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai 2012. Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir
31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab  antarabangsa  pada  14  September  2012  pula  kekal  kukuh  mencatat
432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9
kali hutang luar jangka pendek.

10. Pada  tahun  2013,  berdasarkan  persekitaran  ekonomi  global  yang dijangka  lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada  kadar  4.5 hingga 5.5 peratus.  Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri  Kasar   (KDNK)   nominal  dijangka  melepasi  paras  1  trilion  ringgit. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak  13.3  peratus  dan  5.7  peratus.  Sektor  pembinaan  dijangka  terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus.


PERUNTUKAN BAJET 2013

11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi   melaksanakan  semua  langkah,  program  dan  projek  pembangunan, menumpukan   kepada   kesejahteraan   rakyat   dan   pembangunan   negara. Daripada  jumlah   tersebut,  201.9  bilion  ringgit  adalah  bagi  perbelanjaan mengurus dan 49.7 bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan.

12. Di  bawah  peruntukan  mengurus,  sejumlah  58.6  bilion  ringgit  adalah bagi  Emolumen  dan  33.7  bilion  ringgit  disediakan  bagi  Perkhidmatan  dan Bekalan.  Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan  bagi  sektor  ekonomi  untuk  menampung  keperluan  infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion   ringgit  diperuntukkan  bagi  sektor  sosial,  termasuk  pendidikan  dan latihan,  kesihatan,  kebajikan,  perumahan  serta  pembangunan  masyarakat. Seterusnya,   4.6   bilion   ringgit   diperuntukkan   bagi   pembangunan   sektor keselamatan, 2 bilion  ringgit  bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

14. Dari   segi   kutipan   hasil   Kerajaan   Persekutuan   bagi   tahun   2013, jumlahnya  dianggarkan  208.6  bilion  ringgit,  berbanding  207.2  bilion  ringgit


pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit  Kerajaan  Persekutuan  akan  terus  berkurangan  kepada  4.0  peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan  komited  untuk  terus mengurangkan  defisit  fiskal  ke paras lebih rendah.


FOKUS BAJET 2013

15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di  seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat   mendapat   perkhidmatan   terbaik   serta   manfaat   maksimum   hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka  bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI  DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.


FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN

16. Pertumbuhan  ekonomi  negara   akan  terus   dipacu  oleh  pelaburan langsung   asing   dan   domestik.   Dalam   tempoh   separuh   pertama   2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit  bagi  tempoh  yang  sama  tahun  2011.  Trend ini dijangka  berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion ringgit.
17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi  Negara. Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan  bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak
500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai   Klang.  Manakala,  300   juta  ringgit  lagi  untuk   projek  pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

Menggalak Pelaburan Domestik

18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan  telah menyediakan Dana Strategik  Pelaburan Domestik  bernilai 1 bilion ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh  syarikat  tempatan.  Selain  itu,  Kerajaan  juga  memperkenalkan  semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan  penyedia  perkhidmatan  tempatan  bergabung  menjadi  entiti lebih besar.

Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana

19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan   peranan   penting   dalam   transformasi   ekonomi   negara.   Bagi mempercepatkan  pertumbuhan  industri  PKS  dan  perluasan  skop  kawasan industri  di  seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim  Pembangunan  PKS  bawah  kendalian SME  Bank.  Langkah  ini memudahkan  akses   PKS   untuk   mendapat   pembiayaan   dan   seterusnya memajukan perniagaan mereka.

20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) yang telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui  inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan
32 inisiatif termasuk 6 Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit.

21. Dalam  mempergiatkan   Industri  Halal,  terutamanya  membangunkan produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport,  SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal
sebanyak 200 juta ringgit bagi membiayai modal kerja PKS terlibat.

22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans  berkelompok   kepada  penjaja  dan  peniaga  kecil  yang  berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan   maksimum   sehingga   5,000   ringgit.   Buat   pertama   kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun.

23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu  memodenkan  perniagaan  golongan  penjaja  dan  peniaga  kecil kepada  standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing  atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan  atas  talian.  Untuk ini, PNS  akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil  dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit
bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.

Malaysia Sebagai Hab Minyak dan Gas

24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan  gas  asli  di  pesisir  pantai.  Kerajaan  bermatlamat  menjadikan  Malaysia daripada sekadar  pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia.

25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang  berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan   dagangan.   Bagi  mendokong  penglibatan  pengusaha  swasta  dalam pembangunan  industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan  kewangan sebagai tipping  point  projek perkongsian awam swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.

26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak.  Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion  dolar  US   telah  dimulakan  termasuk  projek  Petronas  Refinery  and Petrochemical   Integrated   Development   atau   Rapid,   Terminal   Simpanan Minyak dan Gas di Johor,  Loji  Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.

27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang  dijangka mencecah 400 juta  tan  setahun  pada  tahun  2025,  program  GIFT  ditambah  baik  dengan pengecualian  cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun  pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan  diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti
pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.


Merancak Sektor Pelancongan

28. Industri  pelancongan  merupakan  satu  sektor  pertumbuhan  ekonomi penting  yang  menyumbang  hampir  12  peratus  KDNK.  Jumlah  pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012.  Sempena  Tahun Melawat  Malaysia 2013/2014,  Kerajaan akan  memperuntukkan   sebanyak  358  juta  ringgit  di  bawah  perbelanjaan pembangunan  iaitu  peningkatan  peruntukan  sebanyak  42  peratus  dengan sasaran  pelancong  seramai  26.8  juta  orang.  Kerajaan  juga  mencadangkan lanjutan  pengecualian  cukai  pendapatan  selama  3  tahun  bagi  pengusaha pelancongan yang mengendalikan  sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

Meningkat Aktiviti Pertanian

29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak
5.8 bilion ringgit, kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

30. Kerajaan  menyediakan  sebanyak  30  juta  ringgit  bagi  pembangunan program  pertanian  merangkumi  aplikasi  penggunaan  teknologi  tinggi  dalam pengeluaran  buah  dan  sayuran,  peningkatan  pembekalan  benih  berkualiti, penstabilan  harga  melalui  jualan  terus  dari  ladang,  pewujudan  pasar  ikan rakyat   serta   penambahbaikan   institusi   latihan   pertanian.   Kerajaan   juga mempersiapkan   sebanyak  75  juta  ringgit  bagi  meningkatkan  pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

31. Bagi  sektor  perladangan  pula,  di  bawah  NKEA,  sebanyak  432  juta ringgit  disediakan  untuk  program  penanaman  semula  pokok  kelapa  sawit. Langkah ini  akan  meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar
26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di  samping  itu,  sebanyak  127  juta  ringgit  disediakan  untuk  pembangunan bahan  terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri
hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.


Kelestarian Jaminan Bekalan Makanan

32. Berkaitan  kelestarian  jaminan  bekalan  makanan  pada  masa  akan datang,  kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem pengurusan  tanamannya  secara  sistematik.  Sebagai  tambahan,  4  kawasan jelapang  padi  baru  akan  dibuka  dan  diperluas  iaitu  di  Kota  Belud,  Batang Lupar, Rompin dan Pekan.  Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang  mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan  jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237  pesawah dijangka menghasilkan
104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit.


Membela Nasib Petani dan Nelayan

33. Kerajaan  amat  menghargai  sumbangan  para  nelayan  dan  sentiasa memastikan  kedudukan  sosioekonomi  golongan  ini  bertambah  baik  dan pendapatan  mereka  meningkat.  Pada  masa  ini,  Kerajaan  memberi  elaun bantuan  sara hidup 200  ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan  55  ribu nelayan  berdaftar.  Kerajaan  juga  menyediakan  insentif  pada  kadar  10  sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.

34. Kerajaan   juga   telah   memperkenalkan   skim   perlindungan   insurans nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif  tangkapan  ikan   dan  bayaran  elaun  bantuan  sara  hidup  nelayan. Di  samping  itu,  berdasarkan  peruntukan  300  juta  ringgit  pada  Bajet  2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.


35. Bagi  membantu  para  petani  mengurangkan  kos  pengeluaran  pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah 2.4  bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit,
Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi
- 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit, Subsidi Harga
Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta ringgit.

36. Selaras dengan  komitmen  untuk menjaga  kebajikan  rakyat,  terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan
50 juta ringgit.

37. Selain   itu,   Kerajaan   akan   meneruskan   Projek   Azam   Tani   yang diperkenalkan  pada  tahun  2011.  Program  ini  telah  berjaya  mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya  mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi  usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.


Mencergaskan Pasaran Modal dan Kewangan

38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan  menyumbang  71  peratus  atau  171  bilion  ringgit  daripada  jumlah terbitan  sukuk  global dalam tempoh  tujuh  bulan  pertama  2012.  Ini  terbukti dengan terbitan sukuk  tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai
30.6 bilion ringgit.

39. Di   samping   itu,   industri   pengurusan   dana   dan   amanah   saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang  diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih
sebanyak 277.8 bilion ringgit.


40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang  monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4 bilion ringgit. Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding
2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare  Berhad  dengan  nilai  6.3  bilion  ringgit  telah  diterbitkan.  Terkini, Astro  akan  disenaraikan  pada  bulan  Oktober  2012  dengan  jangkaan  nilai terbitan yang besar.

41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk  syarikat  yang  terlibat  dalam  sektor  pertanian,  terutamanya  dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti AgroSukuk,  ia  dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian  dan   industri   asas  tani.   Justeru,   untuk   menggalakkan  terbitan AgroSukuk,  Kerajaan  mencadangkan  perbelanjaan  bagi  menerbitkan  sukuk tersebut  diberi  potongan  cukai  dua  kali  bagi  tempoh  4  tahun  mulai  tahun taksiran 2012 hingga 2015.

42. Selain   daripada  pelabur  institusi,   buat   pertama   kalinya,  Kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah  menyediakan  satu  rangka  kerja  terbitan  bon  dan  sukuk  runcit  untuk membolehkan  pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan menerbitkan bon   runcit   bernilai   300   juta   pada   akhir   tahun   2012   untuk   membiayai pembangunan projek MRT.

43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan  perbelanjaan  tambahan  menerbitkan  bon  dan  sukuk  runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.

44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi  memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal
Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.

45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan  pasaran  modal,  SC  akan  memperkenalkan  inisiatif  Graduate Representative Program. Program  ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif.


Menggalakkan Amanah Perniagaan

46. Pengendalian  perniagaan  melalui  suatu  entiti  amanah  mempunyai kelebihan  tertentu,  terutamanya  dari  segi  meningkatkan  keupayaan  untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan  telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan   pilihan  pengendalian  perniagaan  melalui  struktur  baru  iaitu amanah perniagaan (business trust).


47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah  milik  perniagaan,  aset  dan  hartanah  milik  syarikat  kepada  amanah perniagaan diberi pengecualian  duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.
48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang  berdaya  maju  mendapat  dana  melalui  pasaran  bon  pada  kos  yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah  diterbitkan.  Langkah  ini  telah  membolehkan  syarikat  menjana  aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.

49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan menambah  peruntukan  modal  Danajamin  sebanyak  400  juta  ringgit  dalam
14

tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6 bilion ringgit.


50. Kerajaan  turut  mengumumkan  penubuhan  Yayasan  Pasaran  Modal sebagai  usaha  bersepadu meningkatkan  kompetensi dan  keupayaan  untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada  3  aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu,  sejumlah 100 juta ringgit  akan disediakan kepada  Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.


51. Sebagai  salah  satu  inisiatif  untuk  menjadikan  Malaysia  sebagai  hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak  Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan  menghubungkan   komuniti  perniagaan  dan  pasaran  global.   TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.

52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10  tahun kepada syarikat berstatus  TRX,  pengecualian duti  setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan  pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja  pembinaan  awal   TRX   berjalan  lancar  mengikut  jadual.  Manakala, pengalihan  kemudahan  utiliti   sedia  ada  di  tapak  TRX  pula  sedang  giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012.


Wakaf Korporat

53. Kerajaan  mengambil  maklum  bahawa  Majlis  Agama  Islam  Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan   tanah  semata-mata  tetapi  juga  merangkumi  wakaf  dalam
bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf  korporat.  Selaras  dengan  itu,  Yayasan  Wakaf  Malaysia  di  bawah Jabatan  Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan  induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri.  Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia.

Pembangunan Usahawan Bumiputera

54. Kerajaan  sentiasa  komited  dalam  memastikan  syarikat  Bumiputera dapat  bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan  tinggi  serta  pelaburan  dalam  sektor  utama  ekonomi.  Pada tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding
22   peratus   pada   tahun   2008.   Salah   satu   usaha   ialah   meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi  seperti  MRT  akan  meningkatkan  keupayaan  dan  kemahiran  syarikat Bumiputera  tempatan.  Justeru,  sebanyak  9  bilion  ringgit  atau  43  peratus daripada  nilai  kos  infrastruktur  projek  MRT  diperuntukkan  kepada  syarikat Bumiputera.


55. Usaha  juga  akan  diambil  bagi  membantu  syarikat  PKS  Bumiputera untuk   berkembang  dan  mempertingkatkan  pegangan  ekuiti  dalam  sektor ekonomi.  Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan  disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS  tempatan  bagi  tujuan  membiayai  pengambilalihan  anak  syarikat  milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal  pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera.


56. Kerajaan  telah  memperkenalkan  Skim  Jaminan  Modal  Kerja  dengan dana  sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses   pembiayaan  modal  kerja.  Skim   ini  memberi  jaminan  maksimum sehingga 2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang  dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta
ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat Bumiputera menikmati kemudahan

16

Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga

31   Disember   2013,   memperluas   skim   ini   kepada   syarikat   Bumiputera Berprestasi  Tinggi  dan  meningkatkan  kelayakan  dana  pemegang  saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta ringgit.


57. Kemudahan  pinjaman  secara  mudah  dan  cepat  sering  kali  menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung   Ekonomi  Kumpulan  Usaha  Niaga  (TEKUN),  usahawan  kecil  kini mampu  memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN  telah  menyalurkan  pinjaman  sebanyak  2.24  bilion  ringgit  kepada
224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit kepada  4,212  usahawan  masyarakat  India  di  bawah  Skim  Pembangunan Usahawan   Masyarakat   India.   Bagi   tahun   2013,   Kerajaan   menyediakan peruntukan  sebanyak  350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit
kepada masyarakat India.

FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

58. Sememangnya  sejak  merdeka,  Kerajaan  telah  menjadikan  bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang  ini adalah  prasyarat  kepada  sebuah  negara  yang makmur   dan   pembangunan   rakyat   yang   sejahtera.   Lalu,   setiap   tahun menyaksikan  peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun, didapati  hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang  telah  dibuat.  Maka,   pada   11  September  lepas,  Kerajaan  melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi  memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia.

59. Bagi  Bajet  2013,  sebanyak  38.7  bilion  ringgit  telah  diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.

60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping 38.7 bilion  ringgit  peruntukan  kepada  Kementerian  Pelajaran  bagi  perbelanjaan mengurus   dan   pembangunan,   Kerajaan   akan   menyediakan   peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains  dan  matematik   melalui   pendekatan  Higher  Order  Thinking  Skills. Peruntukan  ini  juga  merangkumi  penubuhan  Unit  Pelaksanaan  Pendidikan atau  Education  Delivery  Unit  bagi   memantau  dan  menilai  keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.

61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan   Penyelenggaraan  Sekolah  khusus  bagi  keperluan  mendesak  untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok  tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan  tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada   jumlah  ini,  400   juta  ringgit  akan  disalurkan  kepada  Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta  ringgit  Sekolah  Jenis  Kebangsaan   Tamil,  100  juta  ringgit  Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.


Memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak

62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan bagi tujuan pendidikan  prasekolah  termasuk  kepada  Jabatan  Kemajuan  Masyarakat, Kementerian  Pelajaran,  PERMATA  dan  Jabatan  Perpaduan  dan  Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.

63. Berhubung perkhidmatan  taska  dan pusat  jagaan kanak-kanak  yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di   samping  membangunkan  perkembangan  minda  yang  positif,  Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut:

Pertama: Geran  pelancaran  10  ribu  ringgit  kepada  penyedia  Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka   membuka  taska  baru  yang  berkualiti.  Dianggarkan
1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;

Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska  dan  pusat  jagaan   kanak-kanak  akan  diberi   kepada majikan;

Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan

Keempat: Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan  industri  pada   kadar  10  peratus  setahun  kepada pengusaha pra-sekolah swasta.

64. Pada  masa  ini,  kita  dapati  ramai  kanak-kanak  kurang  upaya  dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan taska OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska   OKU  bagi  6  kategori  kanak-kanak  OKU  yang  merangkumi  down syndrome,  autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU  masalah pembelajaran.

Latihan dan Kemahiran

65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif,  program  latihan  akan  dibentuk  untuk  mengasah  kemahiran  baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.

66. Setiap  tahun  hampir  180  ribu  graduan  berkelulusan  diploma  dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam  hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability
Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit.

67. Kerajaan telah melaksanakan  Program Skim Latihan 1Malaysia  atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran  graduan  melalui  latihan  soft-skills  dan  on-job-training  di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun
2016.

68. Kerajaan juga memperuntukkan  440  juta  ringgit kepada  Perbadanan Tabung  Pembangunan  Kemahiran  bagi  memberi  pinjaman  kepada  pelatih untuk  menjalani  latihan kemahiran.  Langkah  ini  akan  dapat  memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan  juga  memperuntukkan  366  juta  ringgit  bagi  menaik  taraf  serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.

69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan  diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri  terpilih  termasuk  industri  minyak  dan  gas,  perkapalan,  ICT,  kreatif serta  bioteknologi.  Bagi  tahun  2013,  dijangka  seramai  5,000  pelatih  akan menyertainya.  Di  samping  itu,   Petronas  akan  menggunakan  kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di  Pengerang, Johor untuk melatih seramai
300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.

70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu,  Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih   3,200   pelajar  masyarakat  India  bagi  memperlengkapkan  mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual
Nasional.

71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif  dalam  menyumbang  kepada  pembangunan  syarikat  dan  ekonomi negara, aspek  kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang  menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital Kerajaan atau  klinik  panel PERKESO. Pemeriksaan  kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.

FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI Harta Intelek (IP) Sebagai Cagaran

72. Bagi  membolehkan  PKS  menggunakan  harta  intelek  sebagai  nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan,   satu   model   penilaian   harta   intelek   akan   diwujudkan   bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran  memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:


Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta   ringgit.   Skim   ini   akan   ditawarkan   oleh   Malaysia   Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan

Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan   penilai  harta  intelek  tempatan  kendalian  Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.


Penyelidikan dan Pembangunan

73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5 buah universiti penyelidikan  bagi  menjalankan  penyelidikan  berimpak  tinggi  dalam  bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.

74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan  penemuan  R&D  berasaskan  aktiviti  sumber  diperluaskan kepada  aktiviti  berasaskan  bukan  sumber  yang  digalakkan  di  bawah  Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:

Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan  aktiviti  mengkomersialkan  penemuan  R&D  diberi potongan  cukai  bersamaan  dengan  jumlah  pelaburan  yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan

Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100  peratus  ke  atas  pendapatan  berkanun  untuk  tempoh  10 tahun.


Mempergiat Pelaburan Modal Teroka oleh Pelabur Individu

75. Merujuk  usahawan  muda  tempatan,  sememangnya  didapati  mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa  namun  berhadapan  sumber  pembiayaan  terhad.  Oleh  itu, sebagai  sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau  angel investors di peringkat awal  perniagaan adalah amat penting  bagi   merealisasikan  pelaburan  dan  daya  saing  syarikat  teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur  pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.


Menyemarak Inovasi Inklusif

76.  Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara   maju   berpendapatan   tinggi,   inovasi   akan   terus   diperkukuh   dan diarusperdanakan  dalam  semua  sektor  dan  segenap  lapisan  masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia  dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).


Pembangunan Teknologi Hijau

77. Dalam  Bajet  2010,  Kerajaan  telah  mewujudkan  Skim  Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah  dengan  Kerajaan  menanggung  subsidi  2  peratus  daripada  jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50  syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk  berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion  ringgit  dan tempoh  permohonan  skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu  sehingga 31 Disember
2015.


FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

78. Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan  dan  negara  berada  pada  landasan  yang  betul  bagi  mencapai bajet   berimbang.   Dalam   hal   ini,   semua   kementerian   dan   agensi   perlu memastikan   peruntukan   mengurus   dan   pembangunan   dibelanjakan   bagi perkara yang  benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.

79. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.

80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan  sistem  cukai  negara  akan  lebih  menggambarkan  kedudukan kewangan   setiap  isi  rumah.  Peralihan  daripada  sistem  cukai  berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan  mengesankan  rakyat  terbanyak  khususnya  golongan  berpendapatan rendah  serta  sederhana  kerana  perkara-perkara  asas  sama  ada  makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.

82. Pelaksanaan  struktur   baru  cukai  ini  sudah  menjadi  sebagai  satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.

83. Walau   bagaimanapun,   ruang   masa   yang   mencukupi   akan   tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.

84. Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan  budaya  produktiviti,  kreativiti  dan  inovasi.  Amalan  kerja  pula mestilah   cepat,   tepat   dan   berintegriti.   Langkah   ini   akan   mencetuskan paradigma  baru  dan  seterusnya  meningkatkan  keyakinan  rakyat  terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.

85. Kerajaan  tidak  lupa  akan  jasa  pesara  yang  pernah  mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang   telah   berkhidmat  sekurang-kurangnya  25  tahun  dengan  menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan mengambil  kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan  seramai   50,371  pesara,  termasuk  penerima  pencen  terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun.

86. Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun.  Manakala,  bagi  caj  bayaran  pengurusan  pasport  untuk  tempoh  dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan  kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.   Kadar
bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.


Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia

87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan  ATM telah ditambah  baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan  kepada  Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.

88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan   peluang   kenaikan   pangkat   anggota   ATM   melalui   kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke  Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat- syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan  kerjaya  serta  motivasi  anggota  ATM.  Usaha  ini  akan  memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.

89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.

90. Kerajaan  menghargai  peranan  pasukan  simpanan  angkatan  tentera sebagai   pelengkap   dan sokongan kepada   angkatan tetap   ATM.   Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan  angkatan tentera merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.

91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen,   Kerajaan   bersetuju untuk   memberi   sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak
224  juta  ringgit  yang  melibatkan  224  ribu  bekas  tentera  ini  akan  dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

92. Kerajaan  juga  akan  memperkenalkan  Skim  Perlindungan  Insurans Berkelompok  kepada  anggota  tentera  dan  polis  yang  sedang  berkhidmat dengan  peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum  sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis.

93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk   membiayai   keperluan   pinjaman  perumahan   penjawat   awam   yang diuruskan  oleh   Bahagian  Pinjaman  Perumahan,  Kementerian  Kewangan. Sebagai  sebahagian  daripada  usaha  konsolidasi  fiskal  dan  mengurangkan beban tanggungan kewangan  Kerajaan,  BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank  komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat dan  bantuan  sedia  ada  yang  dinikmati  oleh   penjawat  awam  akan  tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih  tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

94. Selain  itu,  pada  masa  ini,  wang  proses  yang  dikenakan  bagi  setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi  setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan  memudahkan   proses  kelulusan  pinjaman,  Kerajaan  bersetuju  untuk menetapkan wang proses ini  pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai  Kesihatan  Persekitaran,  Penolong  Pegawai  Perubatan,  Penolong Pegawai   Farmasi,  Juru  X-Ray,  Jururawat,  Jururawat  Pergigian,  Jurupulih Perubatan, Juruteknologi  Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu  Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan.


FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT

96. Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek  dan  program  untuk  memastikan  kesejahteraan  rakyat  dan  memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik  pulih  dan  menyelenggara  sekolah  serta  klinik  kesihatan,  projek perumahan,  projek  tangki   air,   rancangan  tebatan  banjir  dan  penyediaan kemudahan sukan.

Mewujud Kejiranan yang Selamat dan Harmoni

97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai  salah  satu  inisiatif  di  bawah  NKRA.  Usaha  mengurangkan  kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591 juta ringgit akan  disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah- langkah berikut:

Pertama: Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;

Kedua: Menubuhkan  Unit  Rondaan  Bermotosikal  memantau  kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah
motosikal dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit;

Ketiga: Menambah  bilangan  ahli  Pasukan  Sukarelawan  Polis  seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras jenayah; dan

Keempat : Menambah  pemasangan  Sistem  Kamera  Litar  Tertutup  atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

98. Kerajaan  sedar  akan  tugas  dan  tanggungjawab  berat  pegawai  dan anggota   Polis  DiRaja  Malaysia.  Kepada  warga  PDRM  saya  mendengar rintahan saudari  dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita  tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan  telahpun  mengarahkan  pihak  Jabatan  Perkhidmatan  Awam  agar kajian  komprehensif  dilakukan  untuk  menambahbaik  laluan  kerjaya  warga PDRM. Kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua “stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.

99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai   pembelaan   sesuai   dengan   hak   mereka   yang   dijamin   oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini
menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.

100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan  adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang  selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan  bercadang  memberi  geran  berjumlah  10,000  ringgit kepada   4,025   persatuan   penduduk   yang   berdaftar   dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;

Kedua : Mempertingkatkan  peranan  rukun  tetangga  dalam  membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT;

Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,000 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan

Keempat : Tolakan  sepenuhnya  perbelanjaan  pemasangan  alat  kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah   galakan   Elaun   Modal   Dipercepatkan.   Kerajaan   juga bersetuju  galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan   tambahan   setiap   tahun   sehingga   mencapai   5,000   anggota. Langkah  ini  diharap  akan  dapat  menyokong  usaha  Kerajaan  memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.


Memacu Transformasi Komuniti

102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP.  Sejumlah  200   juta  ringgit  akan  disediakan  bagi  maksud  ini.  Bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.

103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan   kesinambungan perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong  atau   mengoptimumkan  penggunaan  bangunan  dengan  kos  yang minimum.  Sebagai  contoh,  di  UTC,  rakyat  boleh  membuat  pasport  dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan  aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan UTC  ini,  ia  beroperasi  bermula  dari  8.30  pagi  hingga  10  malam,  7  hari seminggu.

104. Di  bawah  UTP,  Kerajaan  telah  melancarkan  2  Pusat  Transformasi Bandar  atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima   purata   seramai  4,000  orang  sehari.  Pelaksanaan  UTC  akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu
Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.


Program Transformasi Luar Bandar

105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar  atau  RTC  di  Gopeng,  Perak  dan  Wakaf  Che  Yeh,  Kelantan  bagi menyediakan  sebuah  pusat  integrasi  perkhidmatan  meliputi  pengumpulan, pemprosesan dan  pengedaran hasil  pengeluaran pertanian,  perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC.


Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli

106. Kawasan  luar  bandar  akan  terus  dibangunkan  bagi  mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:

Pertama : Sebanyak  1.2  bilion  ringgit  disediakan  untuk   melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan 220 ribu penduduk;

Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu  buah  rumah  dan  projek  penyambungan  bekalan  elektrik kepada 19 ribu buah rumah;

Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara  dan  memanfaatkan  38  ribu  penduduk.  Program  utama termasuk   menaik   taraf   kilang   pemprosesan   hasil   laut   dan makanan,  pembinaan  jeti  baru,  pembinaan  pusat  pemasaran
serta menambah baik pakej dan aktiviti  homestay serta rekreasi;

Keempat : Sebanyak   88  juta  ringgit  diperuntukkan  bagi  melaksanakan program  pembangunan  ekonomi  dan  projek  bekalan  air  bagi masyarakat Orang Asli; dan

Kelima : Sebanyak  100  juta  ringgit  bagi  membekal  40  ribu  tangki  air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.


Kesihatan Asas Kesejahteraan

107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan  yang  memuaskan.  Bagi  tahun  2013,  Kerajaan  memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan.

108. Pembukaan  Klinik  1Malaysia   telah  mendapat  sambutan  baik  dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi  mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta ringgit bagi  membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada  mereka  yang  memerlukan.  Selain  itu, sebanyak  100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh negara, di samping menambah 150 buah  mesin dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.


Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

109. Memang  benar,  wanita  bukan  sahaja  penting  dalam  pembentukan keluarga  bahagia malah  turut menyumbang  kepada  pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama : Seramai  500  wanita  akan  dilatih  di  bawah  Program  Pengarah
Wanita  untuk  diketengahkan  sebagai  ahli  lembaga  pengarah syarikat;

Kedua : Program  Inkubator  Keusahawanan  Ibu  Tunggal  (I-KIT)  akan dipertingkatkan   untuk   memberi   khidmat  nasihat   dan   latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan

Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan  dengan  meningkatkan  jualan  secara  atas   talian dengan  geran  seribu  ringgit melalui  peruntukan  50  juta  ringgit oleh SKMM.

Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan  percuma  ujian  Mamogram.  Langkah  ini  dijangka dapat memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.

110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan  dalam  arus  pembangunan  negara.  Justeru,  program  Kebajikan Rakyat  1Malaysia   atau  KAR1SMA  di  bawah  Kementerian  Pembangunan Wanita,  Keluarga  dan  Masyarakat  akan  diperuntukkan  sebanyak  1.2  bilion ringgit meliputi program  bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.

111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan  rendah.  Antara  program  di  bawah  inisiatif  ini  adalah  Azam Kerja,  Azam  Tani,  Azam  Niaga  dan  Azam  Khidmat.  Untuk  ini,  Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.

112. Selain  itu,  Kerajaan  telah  menyediakan  2  pusat  Anjung  Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang   memerlukan  tempat   tinggal  sementara  sebelum  mereka  mendapat pekerjaan atau  kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat  Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung  Kasih  di  Hospital  Sibu,  Miri,  Temerloh,  Seremban  dan  Ipoh  bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan.


Belia dan Sukan

113. Sukan  adalah  pemangkin  perpaduan  nasional  yang  terbaik  kerana melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong,  Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah   antara   hero   dan   heroin   sukan   yang   dikagumi.   Kejayaan   dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan. Kerajaan  sentiasa  memberi  penekanan  dalam  memastikan  pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak
738 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.

114. Kerajaan akan memperuntukkan  15 juta  ringgit bagi  mempersiapkan para  atlet  ke  kejohanan  sukan  antarabangsa  termasuk  Sukan  SEA  2013, Sukan Para  ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan  juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan  untuk  tempoh  4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio.

115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

116. Dalam  usaha  melahirkan  generasi  belia  yang  berpersonaliti  tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan program   Y-Creative  yang  melibatkan  persatuan  belia  di  seluruh  negara. Kerajaan juga  akan  menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia  terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun
2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional.

117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan   nama   New   Enterpreneur   Foundation   akan   ditubuhkan   dengan peruntukan  permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan.

118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman  mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi  kadar  faedah  pinjaman  sebanyak  2  peratus  dan  had  maksimum pinjaman  sebanyak  100  ribu  ringgit  serta  tempoh  bayaran  balik  selama  7 tahun.

119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara. Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau  1M4U  untuk mereka mempersembahkan idea-idea  kreatif  dan  inovatif  menerusi  pertandingan  di peringkat  tempatan, negeri  dan kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia.

120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon  pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu,  bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas  akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia.


Mengiktiraf Karyawan dan Seniman

121. Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur  menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting   dalam   meningkatkan   peradaban   nasional.   Sebagai   menghargai peranan  mereka  ini,  Kerajaan  bersetuju  memperuntukkan  sejumlah  6  juta ringgit sebagai bantuan  pentadbiran dan kegiatan  kepada semua persatuan yang berdaftar.


Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam Bandar

122. Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah  nadi  kepada  pembangunan  sesebuah  komuniti.  Lanjutan  daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan RapidKuantan   mulai  1   Disember  2012  bagi  menyediakan  perkhidmatan pengangkutan  bas  berkualiti  di  Kuantan  yang  dapat  memanfaatkan  rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga dalam   proses untuk memperluaskan perkhidmatan  ini di  bandar lain seperti  Ipoh,  Seremban,  Kuching  dan  Kota Kinabalu.

123. Kerajaan  memandang  serius  kepentingan  pengangkutan  bagi  orang ramai  terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa  ini,  golongan  OKU,  pesara  dan  pelajar  telah  menikmati  diskaun  50 peratus kadar  tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan  diskaun  50   peratus  kadar  tambang  ini,  kepada  semua warganegara Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.


Perumahan untuk Rakyat

124. Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat  Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi  sebuah   Kerajaan  yang  bertanggungjawab.  Oleh  itu,  Kerajaan  akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya  umumkan,  Kerajaan   akan  memperuntukkan  1.9  bilion  ringgit  bagi membina 123 ribu unit rumah dengan  harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik.  Inisiatif  ini  akan  dilaksanakan  oleh  PR1MA,  Syarikat  Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.

125. Sebanyak  500  juta  ringgit  akan  dibelanjakan  oleh  PR1MA   untuk membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan.

126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan  berjumlah  500  juta  ringgit  untuk  membina  30  ribu  unit  rumah secara  usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di  bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di  pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.

127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu hingga
220 ribu ringgit seunit.

128. Bagi  program  Rumah  Mesra  Rakyat  pula,  SPNB   akan   membina sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.

129. Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi Jabatan   Perumahan  Negara  melaksanakan  45  projek  di  bawah  Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding harga pasaran sekitar 120 ribu  ringgit seunit. 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan OKU.

130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama,  Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu,  akan  ditambah  baik  dengan  meningkatkan  had  pendapatan  peminjam perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000 ringgit sebulan  bagi  pinjaman  bersama  suami isteri.  Di  samping  itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan  deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.

131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah  kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit. Kerajaan bercadang   melanjutkan  pengecualian  duti  setem  sedia  ada  sehingga  31
Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga 400 ribu ringgit.


Kajian Semula Cukai Keuntungan Hartanah

132. Menyangkut  hal  penawaran  hartanah  yang  terhad  terutamanya  di kawasan  bandar,  ia  membuka  ruang  kepada  aktiviti  spekulasi.  Dengan  itu, Kerajaan   mencadangkan  cukai  keuntungan  harta  tanah  (CKHT)  ke  atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari  tarikh  perolehan  hartanah  berkenaan,  dikenakan  pada  kadar 15 40 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh perolehannya, CKHT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT.


Galakan Cukai untuk Memulih Projek Perumahan Terbengkalai

133. Selanjutnya,  bagi  tahun  2013,  Kerajaan  memperuntukkan  100  juta ringgit kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat  memulihkan  30  projek  rumah  terbengkalai.  Sebagai  tambahan  untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta,  Kerajaan akan menyediakan insentif cukai seperti berikut:

Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;

Kedua : Kontraktor  penyelamat  diberi  potongan  cukai  2  kali  ke  atas bayaran  faedah dan semua kos langsung  dalam mendapatkan pinjaman;

Ketiga : Kontraktor  penyelamat  diberi  pengecualian  duti  setem  ke  atas semua  jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan

Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan
mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah.

Bantuan dan Insentif Rakyat
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini  tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa  depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itu pun percuma, hutang tak  perlu  bayar,  hatta  menjanjikan   syurga  semata-mata  untuk  berkuasa. Namun,   saya   selaku   Menteri   Kewangan,   tidak   akan   menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.

135. Menyedari   hakikat   inilah,  Kerajaan   sedang  melaksanakan   inisiatif rasionalisasi  subsidi  dan  mengalih  secara  berperingkat  kaedah  pemberian subsidi  daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang  betul-betul  memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara  sehingga  akhirnya  rakyat  menanggung  akibat,  seperti  mana  yang berlaku  di  sesetengah  negara  di  dunia.  Sebagai  sebuah  Kerajaan  yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.

136. Bersesuaian  dengan  peralihan  kepada  dasar  pelaksanaan  subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat  mengongsi  kemakmuran  negara.  Ini  hanya  akan  berlaku,  sekiranya ekonomi  nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus  dijana.   Sukacita   saya  mengumumkan  pemberian  Bantuan  Rakyat
1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebagai tambahan, sukacita juga  saya  mengumumkan  pemberian  BR1M  2.0  ini  diperluaskan  kepada
individu  bujang  berumur  21  tahun  dan  ke  atas  yang  berpendapatan  tidak
melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.

137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu  langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan
4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara  atas  talian  atau  melalui  kaunter  di  Pejabat  Pembangunan  Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

138. Gula  yang  diambil  secara  berpatutan  adalah  baik,  namun  sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September
2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan  saudara  se-Malaysia  dengan  kenaikan  harga.  Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.

139. Saya  ingin  menegaskan  bahawa  Kerajaan  masih  lagi  menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak
278  juta  ringgit.  Malah  pengurangan  subsidi  ini  disokong  oleh  persatuan- persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.


Penyeragaman Harga

141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah  lebih  mahal  berbanding  di  Semenanjung  Malaysia  disebabkan  kos penghantaran  dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan  kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan  memperuntukkan  sebanyak  386  juta  ringgit  bagi  memastikan  harga barangan keperluan di Sabah  dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam  dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M   dan   menanggung   kos   penghantaran   produk   dari   Semenanjung Malaysia  ke  Sabah,  Sarawak  serta  Labuan   termasuk  penghantaran  ke kawasan  pedalaman.  Sebagai  contoh  di  Ba’kalalan,  Sarawak,  harga  gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman  harga,  gas  memasak  tersebut  boleh  dibeli  hanya  dengan RM26.60 setong.

142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan  perkhidmatan   feri   dari   Labuan   ke   Sabah   dan   Sarawak, Kerajaan   akan   memberi   diskaun   tambang   kepada   semua   penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas  tambang feri  untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.


Mempermudah Ibadah Haji

143. Sekali  lagi  kita  memasuki  musim  panggilan  Haji  menuju  Baitullah. Dalam   Bajet  2012,   saya  telah  mengumumkan  pencarum  KWSP  boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak  1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah  menggunakan  inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal  haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP,  kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari

Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada  jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.

Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi

144. Kerajaan  prihatin  ke  atas  peningkatan  kos  sara  hidup  rakyat  serta tanggungan  cukai  pendapatan  mereka.  Kerajaan  telah  pun  menyediakan sebanyak  20  jenis  pelepasan  cukai  individu  dan  2  rebat  cukai.  Berikutan pelepasan  dan  rebat  cukai  ini,  hanya  1.7  juta  orang  sahaja  yang  perlu membayar cukai  berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

145. Dalam   proses   peralihan   daripada   sistem   cukai   sedia   ada   yang berasaskan pendapatan kepada sistem  cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan  mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu  ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu   pembayar   cukai   daripada   membayar   cukai   serta   pembayar   cukai pendapatan  sedia  ada  juga  menikmati  penjimatan  bayaran  cukai  mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang  belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.

146. Pada  masa  yang  sama,  bagi  terus  memacu  transformasi  gerakan koperasi,  Kerajaan  mencadangkan  kadar  cukai  pendapatan  koperasi  juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat   sebagai  galakan  untuk  meningkatkan  keupayaan  keusahawanan
dalam bidang perniagaan.

Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah

147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas  ke  sekolah  dan  pemandu-pemandu  bas  berikutan  kualiti  segelintir  bas sekolah yang  kurang  memuaskan.  Keadaan  ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat  menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat  sedangkan   sebahagian  besar  bas  yang  dimiliki  telah  melebihi jangka  hayat  ekonomi.  Untuk  itu,  Kerajaan  mencadangkan  pengusaha  bas sekolah diberi pertamanya, pemberian  rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar  faedah  2  peratus  ke  atas  pinjaman  penuh  untuk  menggantikan  bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh  BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang   upaya   kekal   dan   kematian   kepada   semua   murid   sekolah   yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan   seramai   2   juta   pelajar   dengan   perlindungan   maksimum sebanyak  100 ribu ringgit dan kos  premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh  2  tahun  yang  akan  diselia  oleh  Suruhanjaya  Perkhidmatan  Awam Darat.

Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar

149. Kerajaan  amat  prihatin  terhadap  kebajikan  pelajar  terutama  mereka yang  datang  daripada  keluarga  berpendapatan  rendah.  Kerajaan  sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah  yang  merangkumi  bantuan  geran  per  kapita,  bantuan  makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran   tambahan   persekolahan.  Untuk  ini,  sebanyak  2.6  bilion  ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.

150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit   kepada semua pelajar   sekolah   rendah   dan
menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan

rendah  dan  sederhana,  Kerajaan  sekali  lagi  akan  meneruskan  pemberian bantuan   persekolahan   100   ringgit   kepada   pelajar   sekolah   rendah   dan menengah.  Bantuan  ini  akan  dibayar  mulai  Januari  2013  dan  bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan  peruntukan  325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak- anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan  pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit  seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan  ke  atas  pelaburan  bagi  meningkatkan  tahap  pendidikan  generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya  mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga  3,000  ringgit bagi Skim  Simpanan  Pendidikan  Nasional  dinaikkan kepada 6,000 ringgit.

154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia  adalah  satu  keistimewaan,  bukan  satu  hak.  Jika  hutang  PTPTN  tidak dibayar,  ia  akan  menafikan  hak-hak  pelajar  masa  depan.  Oleh  itu,  bagi memudahkan  proses   pembayaran  balik,  Kerajaan  akan  memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.

155. Manakala,  bagi  mereka  yang  membayar  pinjaman  secara  konsisten mengikut  jadual  mulai  1  Oktober  2012,  diskaun  10  peratus  setahun  akan
diberikan. Kita tahu ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan  hutang  PTPTN  dimansuhkan.  Ini  adalah  satu  perbuatan  yang amat  tidak  bertanggungjawab  kerana  jika  dimansuhkan,  siapa  yang  akan menanggung  lebih  30  bilion  ringgit  hutang  PTPTN.  Bukankah  yang  akan terbeban  adalah   rakyat   Malaysia?   Bertanggungjawabkah   jika   kita   yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.


Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar

156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun
2013 hingga  2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat  ini  dilengkapi  dengan  kemudahan  komputer  dan  perkhidmatan  jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.


Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat

157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan  Kerajaan   dapat   memainkan  peranan  yang  lebih  besar  dalam pembangunan   dan   kesejahteraan   rakyat   melalui   Tanggungjawab   Sosial Korporat   atau  ‘Corporate  Social  Responsibility’.  Bagi  menyokong  usaha Kerajaan untuk  merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:

Pertama: Felda  akan  melaksana  dan  menyiapkan  projek  perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas  5,000  ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan   belanja  sebanyak  1.5  billion  ringgit  dalam  tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar  rancangan. Felda  juga akan berbelanja  sebanyak 100 juta  ringgit   setahun   untuk  program  pendidikan  dan  latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;

Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian  geran  pendidikan,  bantuan  kewangan,  pembinaan rumah  arau  untuk  pelajar  pra-sekolah  di  pedalaman  Sarawak, Klinik  Bergerak  1Malaysia  dan  program  membaiki  rumah  bagi golongan miskin dan daif; dan

Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.

158. Sebaik mana pun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan  terima  kasih  kepada  semua  penjawat  awam  negara  yang merupakan  jentera  pelaksanaan  dasar  negara  sama  ada  yang  berada  di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.

159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang   dimainkan  Kementerian  Kewangan  sebagai  pelaksana  dasar  fiskal negara,  Bank   Negara  Malaysia  yang  bertanggungjawab   terhadap  dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.

160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita  tahu,  dari  jumlah  ini,  setengah  bulan  telah  pun  diberikan  menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan  Januari  nanti.  Diharapkan  pemberian  bonus  ini  akan  mengurangkan beban para penjawat awam  terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.


PENUTUP

161. Bajet yang baru saya bentangkan untuk  tahun 2013 ini adalah bajet terakhir  sebelum pilihanraya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.

162. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia,  InsyaAllah  kita  akan  menyaksikan  enam  lagi  bajet  yang  akan dibentangkan  oleh  Kerajaan  Barisan  Nasional  sebelum  Malaysia  berubah status  daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

163. Sebagai  parti  yang  telah  dimandatkan,  kami  menyeru  agar  rakyat menilai  secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional.  Kerajaan BN dan sebelum itu Perikatan telah selama
55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

164. Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk  kerajaan.  Secara  berlapang  dada,  dalam  sebuah  negara  yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak  namun  pada  akhirnya,  rakyatlah  yang  akan  menentukan  siapa  akan mendapat mandat melalui peti undi.

165. Kini,  masanya  hampir  tiba  apabila  rakyat  Malaysia  akan  membuat pilihan   bagi   menentukan   masa   depan   mereka   dan   anak-anak   mereka. Persoalan yang  perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah, sama ada kehidupan mereka  hari  ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok  menjanjikan  harapan  yang  sarat  dengan  peluang  serta  potensi.  Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu  berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambah baik apa yang ada.

166. Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak  retak. Kita akur, Kerajaan BN  tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang
membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an
untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta  alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

167. Pucuk  pangkalnya,  pihak  yang  menawarkan  alternatif  ini  juga  perlu dinilai  catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat Malaysia.   Malah,   ada  di  kalangan  mereka  pernah  diamanahkan  sebagai kepimpinan tertinggi  yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu,  hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai Kerajaan.

168. Kalau  hari  ini  mereka  menjanji  itu  dan  ini,  rakyat  Malaysia  harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak  melaksanakan  segala  yang dijanji,  apatah pula  jaminan mereka  akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang.

169. Bukankah  apabila  berhadapan  dengan  krisis  kewangan  Asia,  hampir ranap  negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

170. Ini  berbeza  dengan  kerajaan  BN.  Apabila  berjanji,  ditepati.  Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan  sama  ada  janji  itu  boleh  ditunaikan  atau  tidak. Bukannya mengambil  sikap  asal  menang,  segalanya-galanya  sanggup  dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana.

171. Kata Plato “The measure of a man is what he does with power”. Justeru, hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara  agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip  sekalipun  demi   kerakusan  kuasa.  Kerajaan  BN,  dibimbing  prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca  pada  awal  ucapan  tadi,  iaitu   berlumba-lumba  melakukan  kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana tampaknya “fastabiqul fasad”, iaitu berlumba-
lumba membuat onar kerosakan.

172. Kalau kita lihat lagi, hakikatnya  Kerajaan  BN  adalah perintis  kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin   menjadi  Kerajaan  merintis  kekuatan  melalui  konflik  dan  kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya.

173. Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan  amal  perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan  untuk  kita  melepas  bebaskan  segala  potensi  yang  ada  bagi membina sebuah  negara yang boleh kita banggakan.  Sebuah negara yang mana yang susah dibantu,  yang  lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.

174. Sesungguhnya,  kita  mahukan  Malaysia  yang  tersanjung  di  persada antarabangsa.  Malaysia  yang  makmur  dan  aman. Malaysia  yang  menjadi cahaya dan  oasis  di  tengah-tengah  ketidaktentuan  global.  Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian. Kepada Allah kita berserah.


Saya mohon mencadangkan.