Mohd Sharbinee Allawee Ramlie SPRM turut ambil keterangan Che Mat, Butler, Muslim dan Ismail Penjaga gol utama Terengganu, Mohd Shar...

SPRM siasat Sharbinee Allawee



Mohd Sharbinee Allawee Ramlie
SPRM turut ambil keterangan Che Mat, Butler, Muslim dan Ismail

Penjaga gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie semalam dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan 'menjual permainan' ketika menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah , Sabtu lalu. Turut member i keterangan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan jurulatih Peter Butler.

Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa selain Che Mat dan Butler, beberapa pegawai PBSNT turut dipanggil memberi keterangan.

Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ri yang dipalit dengan isu dakwaan membawa wanita masuk ke bilik hotel di Alor Setar, baru-baru ini turut dipanggil membantu siasatan.

Pemain dan beberapa pegawai dipanggil pada pagi semalam manakala Butler dipanggil memberi keterangan selama dua jam mulai jam 2 petang.

“Kita mula menjalankan siasatan hari ini (semalam), tetapi ia masih dalam peringkat siasatan awal dan kita membenarkan semua yang dipanggil itu pulang selepas keterangan mereka diambil,” katanya kepada pemberita, semalam.
Beliau berkata, kesemua yang dipanggil memberi kerjasama yang baik dan membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dengan lancar.

Md Yusoff berkata beliau tidak boleh memberi ulasan lanjut kerana siasatan masih di peringkat awal.