NAJIB menunjukkan cadangan Bajet 2013 selepas melakukan tinjauan persiapan terakhir di Kementerian Kewangan di Putrajaya malam tadi. T...

Rakyat tunggu ‘hadiah’ Bajet 2013



NAJIB menunjukkan cadangan Bajet 2013 selepas melakukan tinjauan persiapan terakhir di Kementerian
Kewangan di Putrajaya malam tadi. Turut hadir ialah, Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kiri), Timbalan-timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein (dua dari kanan) dan Datuk Donald Lim Siang Chai (kanan).

KUALA LUMPUR – Jika bajet yang dibentangkan pada tahun lalu sarat dengan berita gembira dan durian runtuh untuk rakyat, kini sentimen itu pastinya berulang lagi pada pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Parlimen hari ini.

Sudah tentu semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung tertunggu-tunggu satu lagi pembentangan bajet yang prihatin kepada rakyat.

Antara perkara yang diharapkan ialah hadiah untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang pendapatan ketika menghadapi kenaikan kos sara hidup termasuk keperluan harian yang semakin melambung.

Turut mendapat perhatian ialah bagaimana bajet kali ini mahu menangani kenaikan harga tanah dan rumah secara mendadak khususnya di bandar-bandar utama.

Menurut pemerhati pasaran, Bajet 2013 mungkin membantu golongan pertengahan yang memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 untuk memiliki rumah kediaman melalui Skim Rumah Pertamaku.

Skim Rumah Pertamaku telah dilancarkan tahun lalu dan ia disasarkan untuk membantu golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Sumber dari: Kosmo