KUALA LUMPUR: Nafsu tanpa mengira masa apabila seorang lelaki sanggup memperjudi nasib memperkosa rakannya ketika waktu bekerja di dala...

Perkosa opismate atas lantai bilik fail,beri secawan teh kul 3.30ptg,pitam & rogol.



KUALA LUMPUR: Nafsu tanpa mengira masa apabila seorang lelaki sanggup memperjudi nasib memperkosa rakannya ketika waktu bekerja di dalam sebuah bilik di bangunan pejabat tempat kerjanya di Selayang, dekat sini, selepas memperdaya wanita itu dengan memberi minuman bercampur cecair dipercayai dadah.


Lebih kejam, lelaki berusia 30-an itu turut menekup mulut mangsa berusia 35 tahun dengan sapu tangan ketika dia ingin menjerit meminta tolong selain mengugut akan menikam mangsa dengan pisau jika enggan melayani nafsu seksnya.

Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian nekad membuat laporan di Balai Polis Selayang, dekat sini, Isnin lalu untuk tindakan selanjutnya selepas bimbang kejadian sama berulang.

Menceritakan semula kejadian itu, wanita terbabit yang bertugas bersama rakan lelakinya itu masuk ke dalam sebuah bilik di pejabatnya untuk mencari dokumen sebelum lelaki itu memberinya secawan teh, kira-kira jam 3.30 petang.

Menurut sumber, dia yang tidak mengesyaki apa-apa mengambilnya sementara lelaki terbabit beredar. Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian mangsa mula berasa pening seperti hendak pitam selepas meminum air diberikan itu.

“Tiba-tiba rakan lelakinya itu muncul dan terus menarik tangan mangsa serta memeluknya. Dalam keadaan separuh sedar, mangsa melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum cuba berlari keluar.

“Namun tindakannya gagal apabila dihalang suspek yang kemudian terus mengunci pintu bilik.

“Mangsa yang ketakutan cuba merayu dilepaskan, tetapi tidak diendahkan sebaliknya tubuh mangsa diraba menyebabkannya cuba menjerit namun tidak sempat apabila mulutnya ditekup dengan sapu tangan,” katanya.

Sumber berkata, malah rakan lelakinya itu turut memaksa mangsa berbaring di atas lantai sambil mengeluar pisau dan mengugut akan menikamnya jika enggan menuruti arahannya.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa akur dan berbaring di atas lantai sebelum dirogol.

“Selepas dirogol, mangsa diugut agar tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa jika tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas dirinya,” katanya.

Difahamkan, suspek berjaya ditahan polis kelmarin setelah mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Berita Penuh

Sumber dari: Metro