Husam bersama tetamu lain dalam majlis Hari Raya anjuran Harakah KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan kini sedang merangka untuk membina la...

Kelantan sedang rangka bina laluan keretapi laju


Husam bersama tetamu lain dalam majlis Hari Raya anjuran Harakah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan kini sedang merangka untuk membina laluan keretapi laju bagi menghubungkan negeri itu dengan negeri-negeri di Pantai Barat termasuk Johor untuk keperluan jangka masa panjang.


Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beberapa pihak berkaitan telah dihubungi untuk membantu membuat rangka awal cadangan laluan keretapi tersebut.

Menurut beliau, pembinaan laluan keretapi itu akan menggunakan wang dari bayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

"Jadi saya berharap Kerajaan Kelantan masa depan boleh buat jawatankuasa untuk mengkaji membina laluan keretapi laju mengguna duit royalti.

"Duit royalti dari telaga (Bunga) Kamelia sahaja bermula tahun hadapan akan diperolehi kelantan insyaAllah RM500 juta satu tahun.

"Kalau kos keratapi laju RM4 hingga RM5 bilion, itu masih dalam kemampuan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri Harakah di Dewan Datuk Fadzil Noor, KUIZM hari ini.

Tambah beliau lagi, pembinaan itu nanti akan membantu perkembangan ekonomi Kelantan selain mempercepatkan masa perjalanan dan memudahkan perhubungan.

Pembinaan itu juga dilihat akan membantu mengurangkan penggunaan kenderaan rakyat Kelantan khususnya yang berada di perantauan untuk pulang ke kampung halaman terutama di musim perayaan dan cuti umum.

"Keretapi yang ada sekarang ini terlalu perlahan dan laluannya masih laluan yang dibuat oleh penjajah dahulu.

"Kita mencadangkan perjalanan dari KB ke KL lebih cepat dan selesa," katanya.

Saiz landasan

Menurut Husam, kalau mengguna size landasan keretapi sekarang, keretapi itu akan boleh bergerak dengan kelajuan maksima 150 km/jam.

"Dengan kelajuan ni, keretapi diesel pun boleh buat. Tak perlu pakai elektrik.

"Cuma kalau kita boleh sambung dari Temerloh ke Kuala Lumpur, perjalanan boleh disingkatkan ke tiga jam," terang beliau.

Bagi beliau, satu jam amat mustahil kerana size rail dan gerabak juga perlu ditukar.

"KTM pakai meter gauge (1 meter gap). ERL pakai standard gauge (1.4 meter gap).

"Kalau kita buat double trek sahaja, 4 atau 5 Bilion dah cukup.  Kalau nak elektrik, kena double," jelas beliau lagi mengenai spesifikasi landasan baru itu.

Mengulas cadangan BN Kelantan yang ingin memasukkan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dalam menifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, Husam berkata ianya sudah terlambat.

"BN terlambat, kita dah pikir nak buat kretapi laju dia baru nak ambik lebuh raya.

"(Cadangan lebuh raya KBKK) dah ada dalam Rancangan Malaysia ke-9, itu pun dibatalkan balik. Kalau dalam manifesto, bila-bila masa pun dia boleh masukkan dalam tong sampah," katanya.

Sumber dari: Harakah