SATU CONTOH PENIPUAN JUAL TEMBERANG KOLEJ SWASTA DIARAH BAYAR RM18,500 Johor Bahru: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di...

Contoh kolej swasta tipu pelajar



SATU CONTOH PENIPUAN

JUAL TEMBERANG

KOLEJ SWASTA DIARAH BAYAR RM18,500

Johor Bahru: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini semalam memerintahkan sebuah kolej swasta membayar balik RM18,500 kos pengajian yang ditanggung seorang bekas pelajarnya dalam tempoh 14 hari.

Presiden TTPM, Mohd Nasrim Mohd Salleh, membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan Juhana Jemaat @ Jamil, 25, yang membuat tuntutan itu.

Sukar peroleh kerja
Kini saya hanya mampu bekerja di pasar borong dengan pendapatan RM30 sehari bagi menyara hidup saya dan ibu yang lumpuh” Juhana Jemaat @ Jamil, Bekas pelajar

Juhana membuat tuntutan itu selepas mendapati Diploma Penyiaran diterimanya daripada Malaysia Institute of Intergrative Media (MIIM) kendalian Cosmo Focus Sdn Bhd, tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya yang mengadili kes ini amat bersimpati dengan nasib kamu, kerana terpaksa merugikan masa muda selama tempoh pengajian selain melaburkan wang untuk memperoleh diploma berkenaan,” katanya.

Terdahulu, dalam keterangannya, Juhana berkata selain sukar memperoleh pekerjaan, beliau juga terpaksa menanggung hutang apabila perlu membayar balik pinjaman pembiayaan pelajaran yang dibuat dengan MARA.

“Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menabung dalam masa dua tahun sebelum memohon memasuki pengajian di MIIM mulai 2006 yang sepatutnya selesai dalam tempoh kira-kira dua tahun,” katanya.

Juhana berkata selepas menamatkan pengajian selama empat tahun, beliau mendapati diploma yang diterima tanpa sebarang majlis konvokesyen itu tidak diiktiraf oleh MQA hingga sukar memperoleh pekerjaan.

Mampu kerja di pasar

“Kini saya hanya mampu bekerja di pasar borong dengan pendapatan RM30 sehari bagi menyara hidup saya dan ibu yang lumpuh. Saya membuat tuntutan kerugian yang saya alami selepas membiayai kos pengajian sebanyak RM18,500 di kolej terbabit,” katanya.

Ketika prosiding semalam, Cosmo Focus tidak menghantar wakil mereka untuk mengemukakan pembelaan atau penentangan terhadap tuntutan yang difailkan Juhana.

Sumber dari: Berita Harian