KUCHING: Tanda tanya menyelubungi siasatan pihak berkuasa apabila wang tunai RM100,000 dikatakan lesap ketika dalam proses pemindahan d...

Wang ATM RM100,000 ketika dalam proses pemindahan lesap



KUCHING: Tanda tanya menyelubungi siasatan pihak berkuasa apabila wang tunai RM100,000 dikatakan lesap ketika dalam proses pemindahan di satu mesin juruwang automatik (ATM) oleh seorang pengurus syarikat keselamatan di Sebuyau, dekat sini, kelmarin.



Kehilangan wang itu hanya disedari pegawai terbabit jam 12.30 tengah hari apabila mendapati peti mengandungi not RM50 berjumlah RM100,000 didapati ringan dan apabila diperiksa ia kosong.


Menurut sumber, pegawai berusia 42 tahun itu bersama seorang pengawal bersenjata dan seorang pemandu bertolak dari pejabat syarikat kawalan keselamatan di Batu Kawa, di sini, jam 10 pagi untuk menghantar wang berkenaan ke mesin ATM sebuah bank di Sebuyau.

Difahamkan, sebelum bertolak, pegawai berkenaan membuat pemeriksaan terhadap beg mengandungi tiga peti wang berjumlah RM220,000 dan semuanya dalam keadaan baik serta berkunci.


Katanya, pegawai berkenaan memaklumkan kepada pengurus besar syarikat keselamatan dan mengisytiharkan membawa tiga peti dalam beg besar iaitu dua peti masing-masing mengandungi not RM50 berjumlah RM100,000 dan satu peti wang RM10 berjumlah RM20,000.


“Perjalanan dua setengah jam dari Batu Kawa ke bank di Sebuyau itu tidak menghadapi sebarang masalah, namun ketika membuat proses menukar peti besi di mesin ATM berkenaan, pegawai terbabit mencurigai sesuatu.

“Dia memasukkan satu peti wang RM50 yang berjumlah RM100,000, kemudian satu lagi peti dengan jumlah sama ke dalam mesin, namun pelik apabila peti itu terlalu ringan, namun tidak mengendahkannya dan meneruskan kerja dengan memasukkan peti terakhir wang RM10 sebanyak RM20,000,” katanya .


Menurutnya, disebabkan tidak puas hati, pegawai berkenaan mengeluarkan semula peti berkenaan daripada mesin dan meminta dua pengawal keselamatan dan seorang pegawai bank sebagai saksi membuka peti berkenaan.

Katanya, sebaik dibuka, pegawai syarikat keselamatan berkenaan mendapati peti berkenaan kosong dan wang yang hilang berjumlah RM100,000 sebelum segera menghubungi pejabatnya dan diarahkan membawa pulang ketiga-tiga peti itu semula.


Sehubungan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Kota Samarahan sebelum dirujuk ke Balai Polis Simpang Tiga untuk siasatan lanjut.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan keterangan daripada pengadu serta pengawal pengiring diambil.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan merangkumi pelbagai aspek.

Sumber dari: Metro