Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengakui Universiti Selangor (UNISEL) berhutang hampir RM15 juta dengan Jana Niaga Sdn Bhd...

UNISEL hutang RM15 juta



Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengakui Universiti Selangor (UNISEL) berhutang hampir RM15 juta dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) termasuk gagal menjelaskan bil penyelenggaraan asrama sejak 17 bulan lalu.

Beliau berkata, pendapatan UNISEL ketika ini hanya cukup membayar gaji profesor dan guru, selain kos pentadbiran dan penjagaan asrama.



UNISEL tidak cukup duit untuk bayar kos biayai asrama yang bukan sedikit iaitu berjumlah RM200 juta. Kos untuk kampus saja RM600 juta. Kita berpendapat tidak perlu bebankan universiti, tetapi biarlah kerajaan negeri yang uruskan. Hutang ini sekarang kita ambil untuk dijaga oleh negeri.
Sebelum ini, UNISEL hutang kepada bank dan saya hendak beritahu bank biar hutang ini dijaga oleh negeri.

Saya sudah beritahu kepada UNISEL untuk jaga operasi, jangan fikir untuk bayarnya, katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Tadarus dan Tadabbur alQuran Perdana, Peringkat Selangor di Masjid Nurul Huda, Kampung Parit Mahang di sini, semalam.

Ditanya masalah hutang itu yang hanya bermula sejak 17 bulan lalu, Abdul Khalid berkata, ia berlaku kerana UNISEL sudah tidak mampu menanggung beban hutang berkenaan.

Memang pelajar ada bayar yuran penginapan, tetapi ia tidak mampu menanggung kos. Ini kerana walaupun ketika pelajar bercuti, UNISEL tetap perlu membayar kepada pihak yang menguruskan asrama ini.
Kerajaan negeri mengarahkan pihak audit untuk menyiapkan laporan kewangan UNISEL dan akan membentangkan laporan pihak akauntan yang sudah disemak, katanya.

Pekerja tak terima gaji

Sementara itu, Ketua Bahagian Residen Komuniti JNSB, Noor Ashikeen Mohd Stap ketika dihubungi menjelaskan, tindakan menutup pejabat pengurusan asrama ketika sesi pendaftaran bermula disebabkan pekerja syarikat itu tidak menerima gaji dalam tempoh lama sehingga menjejaskan urusan seharian.

Kami tidak berniat menimbulkan masalah dan meminta semua pihak memahami beban ditanggung syarikat berikutan tiada bayaran untuk melangsaikan gaji pekerja, lebih-lebih lagi hanya beberapa minggu lagi sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, katanya.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar, sebelum ini mendakwa UNISEL berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata tunggakan bayaran itu membabitkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik kerajaan negeri itu.

Sebelum ini, BH menyiarkan laporan beratus pelajar dihalang memasuki asrama yang dikendalikan Jana Niaga menyebabkan ada di antara mereka terpaksa tidur di surau atau menumpang bilik rakan.

Sumber dari: Berita Harian