JERTIH – Seorang anggota pasukan keselamatan tergamam apabila ditangkap dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita oleh pihak berkuasa...

Siang projek basah dgn gadis Pasir Putih,Malam projek dgn gadis Jerteh



JERTIH – Seorang anggota pasukan keselamatan tergamam apabila ditangkap dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita oleh pihak berkuasa dalam bilik sebuah hotel di bandar Jertih dalam Operasi Bersepadu awal pagi semalam.



Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi, lelaki berumur 20 tahun yang bertugas Miri, Sarawak itu mengambil masa lebih lima minit untuk membuka pintu bilik sewa ketika diketuk pihak berkuasa.

Operasi yang diketuai Ketua Polis Balai Jertih, Inspektor Zuraidi Semail itu turut membabitkan anggota Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah dan Penguat kuasa Majlis Daerah Besut (MDB).

Selepas menunggu beberapa ketika, akhirnya pintu bilik tersebut dibuka oleh lelaki terbabit yang lengkap berpakaian manakala pasangannya berumur 24 tahun dari Kuala Terengganu bersembunyi di dalam bilik air.

Pasangan akan didakwa

ANGGOTA Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah kemudiannya meminta wanita yang bekerja sebagai kerani itu keluar dan dia juga berpakaian lengkap.

Siasatan lanjut mendapati mereka bukan pasangan suami isteri malah pihak berkuasa menemui kondom yang sudah digunakan di dalam plastik bakul sampah di bilik itu.

Bagaimanapun, difahamkan kondom tersebut didakwa milik lelaki itu tetapi ia hasil hubungan seksnya dengan wanita lain dari Pasir Putih, Kelantan yang datang ke biliknya pada siang hari manakala wanita yang ditangkap bersamanya datang pada waktu malam.

Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Jertih sebelum dirujuk ke Pejabat Agama Daerah untuk diambil keterangan lanjut dan pasangan terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 319(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syarie (Takzir) Terengganu 2001 kerana berkhalwat yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Operasi babit pelbagai agensi

SEMENTARA itu, dalam operasi di Kuala Besut yang dilakukan pada waktu sama, turut berjaya menahan pasangan bukan muhrim di sebuah chalet bajet dekat Kuala Besut.

Pasangan lelaki berumur 36 tahun sudah beristeri manakala pasangannya berumur 26 tahun didapati berdua-duaan.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan oleh waris masing-masing yang dihubungi Pejabat Agama Daerah sejurus selepas ditangkap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, tangkapan tersebut sebahagian daripada Operasi Bersepadu seluruh daerah membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) awal pagi semalam.

Menurutnya, Operasi Pencegahan Jenayah dan Dadah di Pulau Perhentian pada jam 1 pagi membawa kepada penangkapan 14 lelaki kerana melakukan pelbagai kesalahan dan seorang pemilik premis hiburan kerana gagal menunjukkan lesen hiburan.

“Polis dan agensi berkaitan turut merampas peralatan muzik daripada pemilik premis hiburan itu untuk tindakan lanjut dan operasi seperti ini akan dilakukan berterusan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen,” katanya.

Turut jalankan operasi penyalahgunaan dadah

KAMARUDDIN berkata, pemeriksaan rambang akan diadakan dari masa ke masa terhadap mana-mana individu bagi memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah terutama membabitkan operator bot teksi.

Kata beliau lagi, Polis Trafik Daerah bersama JPJ pula telah mengadakan Operasi Rentap dan Rantau dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi terutamanya di jalan utama dekat Kampung Pada Luas.

“Operasi bertujuan mengesan suspek yang berkemungkinan pulang ke kampung pada musim perayaan dan mengesan pemandu kenderaan berat yang mengambil dadah,” katanya.

Katanya, hasilnya sebanyak 170 kenderaan dan 180 individu diperiksa membabitkan 53 saman polis dan enam saman JPJ.

Manakala, notis dikeluarkan JPJ sebanyak 13 selain 189 individu diberi nasihat dan teguran.

Menurutnya, operasi seperti ini akan diteruskan seminggu selepas hari raya untuk memerangi jenayah dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Sumber dari: Sinar