Gambar hiasan IPOH: “Saya diseksa dan dihentam bertalu-talu menggunakan rotan dan pengunci stereng kereta menyebabkan seluruh badan lu...

“Saya diseksa dan dihentam bertalu-talu menggunakan rotan & pengunci stereng kereta"


Gambar hiasan

IPOH: “Saya diseksa dan dihentam bertalu-talu menggunakan rotan dan pengunci stereng kereta menyebabkan seluruh badan luka dan pergelangan tangan kiri patah,” kata seorang penanam sayur, dikenali sebagai Cheng, 48, yang menjadi mangsa dera kumpulan ceti haram (along).



Dalam kejadian jam 9.45 malam kelmarin, kumpulan samseng along itu muncul di hadapan rumah mangsa di Taman Pasir Puteh, sebelum memaksa anak saudara mangsa menghubungi Cheng menerusi telefon bagi memaklumkan kehadiran mereka untuk mengutip hutang.


Lebih memburukkan keadaan apabila samseng berkenaan mengugut akan mencederakan dua anak saudara lelaki dan seorang remaja perempuan yang berada di rumahnya jika mangsa enggan muncul untuk menyelesaikan tunggakan hutang.

“Saya tidak sanggup melihat anak saudara saya menjadi mangsa kumpulan along berkenaan dan bergegas pulang. Sebaik tiba di rumah, kumpulan ceti haram itu terus menangkap saya sebelum membelasah saya.


“Saya diheret masuk ke dalam rumah sebelum dipukul lagi menggunakan rotan dan pengunci besi kereta. Biarpun merayu belas kasihan, kumpulan lima along itu tetap memukul saya lebih 10 minit,” katanya, semalam.


Menurutnya, dia meraung kesakitan apabila batang besi pengunci kereta itu dipukul sekuat hati ke arah pergelangan tangan kirinya.


“Saya hanya mampu menjerit sebelum jatuh pengsan. Saya tidak sedar apa yang berlaku dan hanya bangkit dari pengsan di katil wad hospital pagi ini.


“Ketika kejadian, anak saudara dan jiran yang berada di lokasi tidak dapat berbuat apa-apa kerana ketakutan.

“Mereka hanya menghantar saya ke hospital dan membuat laporan polis,” katanya.

Sumber dari: Metro