KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang semakin bimbang dengan kes penipuan sama ada menerusi panggilan telefon dan penggunaan In...

Polis: Pengguna Internet jangan mudah tertipu



KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang semakin bimbang dengan kes penipuan sama ada menerusi panggilan telefon dan penggunaan Internet apabila semakin ramai individu terpedaya sekali gus tertipu hingga menyebabkan kerugian berlipat kali ganda.



Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Deputi Superitendan Mohd Rizal Kamarudin berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dan terpedaya dengan panggilan serta emel palsu diterima yang mendakwa mereka adalah pihak bank yang memungut hutang, menjual barang secara atas talian dan tawaran pemberian hadiah serta wang daripada rakan tidak dikenali terutama melalui laman sosial yang mendakwa berada di luar negara.

Katanya, sekiranya terdapat keraguan, orang ramai dinasihatkan menyemak dengan mana-mana bank dan dapatkan nasihat polis terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi serta tindakan lanjut.

“Sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, pihak polis telah menerima 13 aduan kes penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai bank, 73 kes penipuan pembelian barang melalui laman web dan 22 aduan menerusi kes penipuan parcel.

“Bagi kes penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai bank dan emel palsu dilaporkan sebanyak enam kes di daerah Kuantan, tiga kes di Temerloh, dua kes di Bentong dan masing-masing satu kes di Jerantut dan Cameron Highlands," katanya.

Menurutnya, kerugian keseluruhan dianggarkan RM226,000 melibatkan mangsa yang telah memasukkan wang ke dalam nombor akaun diberikan suspek.

"Dalam tempoh itu suspek kononnya memaklumkan kepada mangsa mempunyai hutang tertunggak atau kad kredit mangsa telah digunakan dengan jumlah tinggi dan perlu menjelaskan hutang tersebut dalam tempoh diberikan.

"Melalui permasalahan ini mangsa yang bimbang di senarai hitam oleh Bank Negara terpaksa mengeluarkan wang mengikut permintaan suspek dan dimasukkan ke dalam akaun bank diberikan," katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, bagi kes penipuan pembelian barang melalui laman web pula kerugian dianggarkan sebanyak RM89,354 melibatkan mangsa yang telah termakan janji suspek untuk menghantar barangan tersebut melalui kiriman pos.

“Setelah mangsa memasukkan wang ke dalam nombor akaun diberikan, suspek kemudiannya langsung tidak dapat dihubungi.

“Orang ramai diingatkan sekiranya jika hendak membeli sesuatu barang diiklankan di laman web pastikan tawaran nilainya kurang daripada nilai pasaran," katanya.

Katanya, sekiranya orang ramai ingin membeli pastikan dapat barang baru buat bayaran atau jika terdapat sesuatu mencurigakan cuba elakkan kerana penjualan tersebut mempunyai unsur penipuan.

Sementara itu, Rizal berkata, kegiatan penipuan didapati semakin serius menerusi parcel yang dijalankan rata-rata suspek yang mengakui berada di luar negara.

“Sindiket penipuan kiriman sama ada bungkusan, hadiah atau wang ini telah membabitkan kerugian berjumlah RM1.04 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Suspek telah perdaya mangsa dengan mengatakan akan menghantar bungkusan barangan yang tidak wujud dari luar negara dan mangsa diminta membuat pelbagai bayaran sehingga ada yang mencecah antara RM200,000 hingga RM400,000," katanya.

Katanya, lebih membimbangkan, sindiket tidak lagi menyasarkan wanita berpendapatan sederhana malah turut memperdaya pelajar dan golongan profesional melalui modus operandi yang sama.

Sumber dari: Sinar