Nor Juliana Suhaila Sudirman (tiga dari kiri) bersama kereta Proton Preve yang dimenanginya pada Program Pemacuan i-Think di Kuala Lump...

Murid tahun lima menang Proton Preve



Nor Juliana Suhaila Sudirman (tiga dari kiri) bersama kereta Proton Preve yang dimenanginya pada Program Pemacuan i-Think di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, bapanya, Sudirman Mat Toufik (dua dari kiri), ibunya, Sarmila Saparuddin (kanan) dan adiknya, Nur Anisa Suhaila.

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lui, Hulu Langat, Nor Juliana Suhaila Sudirman, 11, dipilih sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Proton Preve pada majlis kemuncak Program Pemacuan i-Think.

Menurut Nor Juliana Suhaila, dia tidak menyangka memperoleh hadiah yang begitu bermakna dan besar nilainya.



"Saya juga berpuas hati dapat mempelajari tentang lapan 'Peta Minda' i-Think yang sangat berguna dalam kemahiran berfikir tahap tinggi.

"Peta minda tersebut amat berfaedah dan dapat digunakan dalam pembelajarannya serta persediaan untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan,'' katanya selepas menerima replika kunci Proton Preve daripada Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Mark Rozario pada majlis penghargaan majlis i-Think, di sini hari ini.

Program Pemacuan i-Think yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 13 Mac lalu merupakan projek bersama Kementerian Pendidikan dan AIM.

Sebanyak 10 sekolah menjalankan projek perintis di bawah kendalian Unit Inovasi Khas (Unik) dan AIM. Kerajaan menyasarkan 1,000 lagi sekolah akan menerapkan sistem i-Think ini pada tahun depan manakala semua sekolah menjelang 2014.

Selain Nor Juliana Suhaila, pelajar tahun lima dari SK Seksyen 18, Shah Alam, Siti Nurhajar Mohd. Shukri dan guru SK Batu 9, Cheras, Suzilina Mohd. Sarom turut memenangi seunit iPad.

Ketiga-tiga pemenang tersebut adalah antara 140,000 pelajar daripada 390 buah sekolah dan 2,000 pengunjung komuniti berhampiran yang telah menghadiri program tersebut yang diadakan di 12 buah sekolah sejak Jun lalu.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Eko-Sistem Pendidikan AIM, Eddie Razak berkata, program itu merupakan satu inisiatif untuk memperkenalkan kaedah dan metodologi berfikir dalam kalangan pelajar sekolah

Sumber dari: Utusan