KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui Program Road To London 2012 pada asasnya gagal, berdasa...

Kos Road To London RM 20Juta untuk 1 pingat perak, tahniah kontinjen Malaysia



KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui Program Road To London 2012 pada asasnya gagal, berdasarkan tiada kilauan emas mampu diraih kontinjen Malaysia pada sukan London setakat ini.



Bagaimanapun beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan secara keseluruhan kerana ada atlet yang masih berjuang ketika ini termasuk Pandelela Rinong dan rakan-rakannya tetapi perkara ini perlu dilihat semula secara menyeluruh.

“Selepas berakhir Olimpik London nanti, kita akan tengok perkara ini secara menyeluruh. Ada perkara yang berlaku daripada kesilapan kami (Kementerian), ada perkara yang perlu diubah dari segi pendekatan sukan itu sendiri dan ada perkara yang perlu diperbetulkan," katanya ketika ditemui media pada majlis Berbuka Puasa Kementerian Belia dan Sukan di sini, semalam.

Jelasnya, selepas berakhir Sukan Olimpik di London, beliau akan memberitahu secara menyeluruh mengenai Program Road to London kerana peruntukan yang digunakan sangat besar iaitu lebih RM20juta.

“Kita akan melihat adakah peruntukan dikeluarkan ini sangat berbaloi kerana ia adalah duit rakyat, kita akan tengok juga sama ada ia mencukupi atau terlalu lebih, sedangkan hasilnya tidak berkesan," katanya.

Setakat semalam, kontinjen negara hanya meraih satu perak pada Olimpik 2012 daripada Datuk Lee Chong Wei menerusi acara badminton perseorangan lelaki dan kelmarin Azizulhasni Awang tidak mampu memenangi sebarang pingat walaupun sudah beraksi di peringkat akhir keirin.

“Kita tidak mahu lagi selepas ini hanya berkata ‘kita sudah kalah apa yang boleh dilakukan lagi’. Pada temasya akan datang kita tidak boleh berkata seperti itu lagi," katanya.

Ditanya mengenai empat emas yang dikatakan mampu diraih menerusi Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki badminton), Azizulhasni dan Pendelela, Ahmad Shabery menjelaskan perkara tersebut adalah jangkauan sahaja.

“Maksud jangkauan ini ialah mereka sudah tidak jauh untuk meraih pingat emas, seperti yang berlaku terhadap beregu lelaki negara yang sudah mara ke peringkat separuh akhir, apabila berada di antara empat terbaik sesiapa sahaja boleh muncul juara.

“Begitu juga dengan Azizulhasni yang mara sehingga ke akhir dan apa-apa sahaja boleh berlaku jika ke peringkat tersebut termasuk meraih pingat emas tetapi dia tidak berjaya. Pendelela pula jika berjaya ke akhir dia suda berada dalam jangkauan emas," katanya.

Sumber dari: Utusan