KUANTAN - Seorang pemuda yang memilih untuk membela diri sendiri dalam perbicaraan berhubung dua tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ...

Ketuk kepala gadis guna tukul



KUANTAN - Seorang pemuda yang memilih untuk membela diri sendiri dalam perbicaraan berhubung dua tuduhan menggunakan kekerasan jenayah mencabul dan mencederakan gadis berusia 20 di sini 16 Jun lalu dihukum penjara 12 bulan selepas menukar pengakuan bersalah terhadap salah satu tuduhan yang dihadapinya itu, semalam.


Tertuduh, Nasrul Hakim Ariffin, 23 dari Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur mengaku dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa dengan mengetuk kepala gadis itu menggunakan tukul besi hingga luka.

Bekas pembantu kedai itu bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduhnya mencabul gadis itu dalam kejadian tersebut.

Sebelum itu dia juga menafikan tuduhan mencederakan gadis itu seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan kedua namun pada masa yang sama dia mengaku berbuat demikian.

Pendirian tertuduh yang tidak konsisten itu memaksa Majistret Nurulnaim Abdullah mengulangi pertanyaan sama ada tertuduh mengaku atau tidak terhadap tuduhan itu berulang kali.

Tertuduh yang tetap mengaku tidak bersalah bagaimana pun gagal memberikan penjelasan pembelaannya bagi penafian itu sebaliknya hanya mendiamkan diri.

Selepas didesak berulang kali, tertuduh akhirnya menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan mencederakan wanita terbabit.

Tertuduh memberitahu mahkamah dia tidak mengenali gadis itu dan hanya terserempak ketika datang ke rumah tersebut untuk mencari rakannya.

“Saya datang ke situ untuk bertemu rakan dan mengambil dadah tetapi dia tiada di rumah sebaliknya gadis itu yang membuka pintu.

“Saya pukul kepalanya sebab hendak ambil telefon bimbit di tangan gadis itu bagaimana pun saya tidak mencabul malah terus melarikan diri sebaik sahaja dia menikam saya menggunakan pisau pemotong sayur,” jelasnya.

Mengambil kira beberapa pertimbangan dan penjelasan tertuduh itu, Nurulnaim berkata, tertuduh patut dikenakan hukuman yang lebih berat memandangkan kecederaan yang dihadapi mangsa akibat perbuatan tertuduh itu serius.

Nurulnaim dalam keputusannya mengarahkan tertuduh dipenjara 12 bulan bermula dari tarikh tangkap manakala 11 September depan ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan berhubung kes cabul.

Pada 29 Jun lalu tertuduh dihadapkan ke mahkamah itu atas dua tuduhan tersebut bagaimana pun dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan yang dilakukan di lokasi sama kira-kira jam 9.30 malam16 Jun lalu.

Bagi kesalahan cabul dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Manakala bagi tuduhan mendatangkan kecederaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan.

Sumber dari: Sinar