p/s: Tiada air percuma untuk selangor ke lepas ni? KAJANG - Kerajaan akan memastikan tarif air tidak membebankan rakyat selepas pembi...

Kerajaan akan pastikan tarif air tidak bebankan rakyat: Noh Omar


p/s: Tiada air percuma untuk selangor ke lepas ni?

KAJANG - Kerajaan akan memastikan tarif air tidak membebankan rakyat selepas pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 siap, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.



Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata sehubungan itu, kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat kesimpulan melulu dan mempunyai tanggapan retorik sebelum projek tersebut bermula.

"Jangan kerana projek itu bernilai berbilion ringgit, pembangkang buat tanggapan retorik yang rakyat terpaksa membayar harga amat tinggi untuk khidmatnya. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah fikir 10 tapak ke hadapan
daripada pembangkang untuk senangkan rakyat.

"Benda belum buat dah tembak sana sini. Soalnya sekarang, air mesti ada di Selangor, dan saya percaya kerajaan BN akan ambil kira pandangan rakyat bagi tentukan tarif air ini nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Krisis Air Di Selangor anjuran Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) di Beranang hari ini.

Pensyarah Kolej Poly-Tech Mara Dr Wan Sabri Wan Hussin bertindak sebagai moderator forum itu yang disertai dua anggota panel iaitu aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Mohd Mustafa Hamzah dan pesara Jurutera Tenaga Nasional Berhad Mohamad Fuad Omar.

Pada 26 Julai lepas, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek bernilai RM8.65 bilion itu secara tender terbuka.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata tarif air lebih tinggi merupakan alasan kenapa kerajaan negeri membantah projek itu.

Noh berkata kerajaan negeri Selangor sepatutnya memberi kerjasama bagi menyelesaikan isu itu, bukan mengambil sikap menuding jari kepada kerajaan Persekutuan dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

"Mereka mahu menjadi wira dalam segala isu, mahu menjadi popular dengan mengorbankan kepentingan rakyat. Kerajaan BN mahu berusaha untuk rakyat sebaliknya kerajaan Selangor mahu bermain politik sahaja, itu yang sukar.

"Jadi, lebih mudah bagi BN mengambil alih kerajaan negeri Selangor kemudian buat kerja atasi masalah ini sendiri," katanya sambil menasihatkan rakyat Selangor agar jangan terpedaya dengan sandiwara air percuma kerana air yang dikatakan percuma itu sebenarnya dibayar menggunakan wang rakyat.

"Kerajaan negeri Selangor membayar jumlah tertentu kepada Syabas bagi membekalkan 'air percuma' itu kepada rakyat Selangor, jadi wang itu datang dari mana? Wang rakyat Selangor sendiri.

"Cara beri air percumapun tidak betul, semua kaya dan miskin dapat. Sepatutnya air itu diberi kepada golongan yang kurang berkemampuan, tetapi golongan ini, yang duduk di pangsapuri, pakai meter pukal, tak dapat," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuad yang pernah terlibat dalam kajian projek Langat 2 pada tahun 80-an, berkata satu penyelesaian berdasarkan kemampuan rakyat juga mapan dan boleh diharap perlu dicari bagi mengatasi krisis air di Selangor.

"Masalah sekarang ini pada loji rawatan air di Selangor tidak dapat menampung permintaan pengguna. Namun semua loji ini sudah beroperasi pada 120 peratus daripada kapasiti asal, 24 jam sehari setiap hari. Ini mengundang padah jika berterusan," katanya.

Beliau juga berkata berdasarkan kajian, kos menyalur air daripada empangan ke loji rawatan air Langat Dua berjumlah RM4 per kubik meter padu, namun di Pulau Pinang yang menjalankan projek serupa, rakyat hanya perlu membayar RM1.20 per kubik meter padu selepas dibantu kerajaan Persekutuan. - Bernama

Sumber dari: Berita Harian