Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata para peneroka tidak perlu bimbang dengan penurunan harga saham Felda Global Ventures Hol...

Isa: Harga saham FGV turun 'perkara biasa'



Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata para peneroka tidak perlu bimbang dengan penurunan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) kerana ia "satu perkara biasa".



Bercakap dalam sidang media selepas majlis berbuka puasa di ibu pejabat Felda pada malam tadi, Mohd Isa berkata lembaga itu menjangkakan harga pasaran saham serantau akan meningkat semula pada minggu depan.

"Kalau kita lihat seminggu yang sudah, saya ingat seluruh negara pun kita dapati sahamnya menurun dan di (FGV) ini dan syarikat berasaskan perladangan, juga mengalami penurunanan disebabkan harga seperti itu menurun tapi kita tengok sehari dua dah mula naik balik.

"Kita lihat juga bagaimana keadaan pasaran di serantau, kita dapati dijangkakan dalam minggu depan (harga pasaran saham) serantau pun akan naik maka insya-Allah... Tidak apa yang kita nak risaukan, kita pun baru, baru berapa hari? Baru sebulan lebih (disenaraikan)," katanya.

Mohd Isa mengulas trend harga saham FGV yang menurun sejak beberapa hari lalu sehingga ke paras bawah RM5 pada Khamid – 10.1 peratus lebih rendah daripada harga tertinggi RM5.55 yang dicatat pada 5 Julai.

Harga pasaran tersebut kembali meningkat kepada RM5.05 pada Jumaat.

Mohd Isa berkata turun naik harga itu turut bergantung kepada ekonomi global dan serantau, serta harga komoditi yang juga akan turun naik.

Beliau turut menyerang penulis blog tertentu yang menimbulkan spekulasi "tidak berasas" bahawa harga saham tersebut akan menjunam antara 30 hingga 40 peratus.

Sumber dari: Malaysiakini