SHAH ALAM: “Saya bersyukur,” kata bekas pembantu peribadi, Mas Anum Samiran, 37, selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintahkan...

Gangguan Seksual bos bayar RM25,000



SHAH ALAM: “Saya bersyukur,” kata bekas pembantu peribadi, Mas Anum Samiran, 37, selepas Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintahkan bekas majikannya membayar RM25,000 sebagai ganti rugi kerana melakukan gangguan seksual terhadapnya, empat tahun lalu.


Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia berharap kes itu memberi kesedaran kepada pekerja wanita senasib dengannya supaya tampil dan menggunakan saluran undang-undang.

“Jangan rasa rendah diri. Jika (anda) berada di pihak yang benar dan menggunakan saluran betul, keadilan akan berpihak kepada anda,” katanya. Dia yang kini mengikut suami yang berkhidmat dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Perth, Australia berkata, keputusan itu juga khabar gembira kepadanya dan keluarga selepas perjuangan yang mengambil tempoh beberapa tahun.

Bagaimanapun, wanita itu mengakui serik dan sedikit trauma untuk berkhidmat dengan majikan lelaki. Terdahulu, Hakim Sabariah Othman dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati plaintif dapat membuktikan ada gangguan seksual dilakukan bekas majikan wanita itu.

Justeru, katanya, mahkamah hanya membenarkan tuntutan plaintif terhadap ganti rugi teladan dan punitif sebanyak RM25,000.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tuntutan plaintif terhadap kehilangan pendapatan. Mas Anum memfailkan saman ganti rugi itu terhadap bekas Pengarah Negara sebuah syarikat multinasional, Othman Mohamed, 54, (defendan), di kaunter pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini, tahun lalu.

Berdasarkan penyata tuntutan itu, plaintif mendakwa defendan melakukan beberapa siri gangguan seksual termasuk memegang tangannya pada 13 November 2008 ketika mereka dalam perjalanan mengambil belon untuk sambutan ulang tahun syarikat. Plaintif yang terkejut dengan perbuatan itu meminta penjelasan, namun defendan bertindak menyentuh pipinya.

Defendan kemudian meneruskan gangguan seksual dengan bermain mata terhadap plaintif sambil menjilat bibirnya. Selain itu, plaintif mendakwa defendan memberitahu mahu memeluk dan menciumnya sebagai tanda sayang. Seterusnya plaintif mendakwa pada 12 Disember 2008, defendan menyatakan defendan melakukan gangguan seksual dengan merenung payudaranya. Justeru, plaintif mendakwa perbuatan defendan itu adalah gangguan seksual kerana majikannya mengetahui ia menakutkan dan menyebabkan kegelisahan, kebimbangan di samping perasaan terancam, malu, tertekan dan sakit hati.

Katanya, defendan juga menyalahgunakan kuasa dalam memaksa plaintif melayani perbuatan seksual dan apabila ditolak, defendan menafikan faedah pekerjaan yang sepatutnya diterima plaintif. Pada prosiding semalam, Othman hadir tetapi meninggalkan mahkamah selepas keputusan dibacakan. Mas Anum diwakili peguam bela, S Silas.

Sumber dari: Metro