A Rahman (kiri) ketika melakukan tinjauan di sebuah restoran dalam operasi tinjauan harga, semalam. KUALA TERENGGANU - Pengerusi Jawa...

Exco akui harga makanan di Terengganu mahal



A Rahman (kiri) ketika melakukan tinjauan di sebuah restoran dalam operasi tinjauan harga, semalam.

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar mengakui harga makanan di negeri ini mahal seperti yang diadukan pengunjung luar.


Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga makanan mahal di Terengganu berbanding di negeri lain.

“Dari segi kedudukan, Terengganu lebih jauh dengan Kuala Lumpur malah Terengganu terkenal aktiviti pelancongan. Secara umumnya, kawasan yang terlibat dengan aktiviti ini harga makanannya mahal sedikit.

“Begitu juga dengan harga ikan, agak mahal sedangkan kita pengeluar ikan, tetapi perlu faham bahawa terlalu banyak permintaan terhadap ikan untuk perusahaan keropok, misalnya. Apabila permintaan tinggi, harganya menjadi mahal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sentiasa memantau dan menetapkan harga agar berpatutan.

Oleh itu katanya, peniaga terutama pengusaha restoran dinasihatkan supaya meletakkan tanda harga makanan dengan tepat supaya tidak mengelirukan pengguna.

Beliau berkata, aspek berkenaan perlu dititik beratkan supaya pengguna tidak teraniaya dengan harga makanan yang tidak munasabah.

“Sekiranya makanan yang dijual mempunyai pelbagai jenis seperti kuantitinya lebih banyak atau besar, harganya juga perlu diletakkan pada papan tanda harga supaya senang pelanggan membuat keputusan untuk membeli.

“Begitu juga sebaliknya, kita harap persepsi pengguna terhadap peniaga yang suka mengambil kesempatan tidak berlaku kerana mereka mempunyai maklumat yang lengkap mengenai harga sebenar makanan yang mereka ingin beli,” katanya ketika melawat salah sebuah
restoran yang terletak di Jalan Air Jernih yang dikenal pasti menjual roti canai kosong dengan harga yang mahal iaitu RM1.80 sekeping.

Antara yang menyertai operasi itu ialah beberapa pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (PPDNKK).

Menurut A Rahman, terdapat dua aduan diterima, pertama seperti disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 26 Ogos lalu, dan aduan seorang pengguna yang terus berhubung dengan PPDNKK.

“Berdasarkan jawapan pengusaha restoran itu, dia memaklumkan restorannya mempunyai dua harga bagi roti canai kosong kerana terdapat dua jenis roti canai iaitu RM1.80 bagi roti canai besar dan RM1.40 bagi yang kecil sedikit.

“Mereka mula mencuba harga baru itu dalam bulan Ramadan lalu, namun masih belum menukar pada papan tanda harga yang terdapat di dalam restoran. Mungkin ini punca kepada salah faham antara pembeli dan peniaga,” katanya.

Sumber dari: Sinar