BAHAU - Sudahlah tayar keretanya dikunci, seorang peniaga di sini bertambah bingung apabila dia didakwa mempunyai kompaun bagi kesalah...

Bingung tayar kereta dikunci



BAHAU - Sudahlah tayar keretanya dikunci, seorang peniaga di sini bertambah bingung apabila dia didakwa mempunyai kompaun bagi kesalahan lampau yang tidak diketahui sebanyak RM580.



Peniaga itu, Sri Jamal Khir Jaliludin, 45, berkata, dia menyedari hal itu ketika dia ingin mengambil kereta jenis Naza Ria di Jalan Mewah, dekat sini dan mendapati terdapat satu notis kesalahan di cermin keretanya sementara tayar keretanya sudah dikunci.

Menurutnya, ketika dia ingin menjelaskan kompaun itu, seorang penguat kuasa Majlis Daerah Jempol (MDJL) memaklumkan bahaya dia mempunyai kompaun atas kesalahan lampau.

"Jika saya mahukan kunci pada kereta dibuka, saya perlu menjelaskan kesemua kompaun termasuklah kesalahan lampau yang tidak diketahui.

"Disebabkan tidak berpuas hati, saya nekad membuat laporan di Balai Polis Bahau pada 6 Ogos lepas agar ia dapat diadili dengan sempurna," katanya di sini, semalam.

Sri Jamal berkata, dia ada memaklumkan kepada Yang Dipertua MDJL bahawa notis itu adalah kompaun yang membawa maksud pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan meletakkan kenderaan mempunyai pilihan sama ada menerima tawaran bayaran kompaun atau kes dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Sementara itu, Yang Dipertua MDJL, Wan Razali Wan Awang menjelaskan, pihaknya terpaksa mengunci tayar peniaga itu kerana gagal menjelaskan tunggakan lampau.

“Atas nombor pendaftaran kenderaan itu sahaja terdapat 18 kompaun telah dikeluarkan sepanjang tempoh melebihi satu tahun.

"Memang dia ada menjelaskan kompaun, tetapi masih terdapat 18 kompaun yang masih belum dibayar," katanya.

Menurutnya, MDJL juga pernah menghantar notis peringatan kepadanya sebanyak dua kali iaitu pada 20 Oktober 2011 dan 15 November 2011.

“Kita telah bagi peluang tempoh masa lama untuk membayar kompaun, jadi pada 6 Ogos lalu baru kita ambil tindakan mengunci tayar dan ketika itu peniaga berkenaan mengulangi kesalahan iaitu mempamerkan kupon melebihi waktu yang ditetapkan,” katanya.

Wan Razali berkata, MDJL boleh bertolak ansur bagi mengurangkan kadar kompaun itu, namun peniaga berkenaan mahu membawa kes tersebut ke mahkamah dan kita tidak mampu menghalangnya.

“Namun, agak mengecewakan apabila kita dapati kunci tayar pada kenderaan itu telah dipecahkan pada malam tadi (kelmarin). Jadi pihak kami juga telah membuat satu laporan polis berhubung kes itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber dari: Sinar